Wednesday, April 21, 2010

JANGAN PERCAYA TEORI RAHMAN

TEORI RAHMAN SEKADAR HIBURAN TAPI MESTI DALAM KEWASPADAAN

Disebabkan banyak sms dan e-mel yang Tun Sheikh terima berkenaan dengan Teori RAHMAN, sukalah dinasihatkan di sini agar jangan sekali-kai meyakininya. Ini telah diperjelaslah bahawa keadaan spekulasi dan jangkaan itu sendiri telah membuktikan bahawa Teori RAHMAN hanyalah mainan politik saja. Tidak satu pun yang tepat. Contohnya pernah satu ketika mereka percaya Encik Ghafar Baba dan Anuar Ibrahim akan menjadi PM. Malah nama Abdullah dan Najib tidak pernah disebut bakal menjadi PM ketika teori ini diuar-uarkan.

Nilainya sebagai hiburan dan kita terimalah sebagai hiburan. Meskipun nama tokoh-tokoh besar dijadikan watak utama tetapi hendaklah kita anggap ini semua hanyalah picisan saja. Sebesar mana pun tokoh seperti YM Tunku, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan lain-lain dipergunakan tetapi mereka sebenarnya tidak terlibat kecuali dipakai saja nama mereka kerana mereka adalah public figure untuk penyedap cerita oleh mereka yang suka berhibur. Tambah pula ini adalah perkara nujum dan menjadi larangan keras dalam agama.

Ada yang bertanya siapa dan apa selepas RAHMAN kerana ketika ini telah dianggap sempurna. Jika mengikut dongeng ketua sami Hindu yang pertama dulu mengatakan bahawa apabila lengkap RAHMAN maka melimpah ruahlah rahmat Tuhan yang bersifat Rahman kepada Malaysia. Malaysia akan berada dalam kehermonian dan kemakmuran. Rakyatnya akan hidup aman damai dan bahagia dalam kenikmatan dan kekayaan. Tidak terdengar pula siapa pemimpin selepas itu kerana ini memberi gambaran selepas Najib barulah makmur. Memang kelakar tapi biarlah kerana ia memang sesuai sebagai hiburan atau penglipur lara saja.

Tidak pula begitu mengikut ahli firasat nujum muda dari negeri Perak yang dipercayai murid kepada ketua sami Hindu yang terkenal di India itu. Beliau menjangkakan bahawa kuasa pemerintah sekarang akan beartukar tangan setelah Najib. Dengan kata lain, bukan lagi BN yang berkuasa tetapi mungkin pembangkang dan tiada apa yang buruk berlaku tetapi rakyat hidup dalam ketegangan kerana bekas pemerintah atau mungkin malu hendak disebut sebagai BN secara senyap-senyap mengumpul tenaga ke arah rampasan kuasa yang bersifat ekstrimis dan teroris. Ini adalah disebabkan kehidupan mereka tergugat dan budaya hidup mereka seperti ketika mereka berkuasa tidak lagi dapat diamalkan dan dinikmati dengan bergaya.

Setelah tamat sepenggal atau beberapa penggal PM pertama selepas Najib akan naik pula pemimpin yang tidak dijelaskan dari barisan mana akan memerintah menggantikan PM selepas Najib. Pada ketika ini lah dijangka porak peranda berlaku dan hidup melarat dan kucar-kacir kerana berlaku keganasan dan pertumpahan darah. Yang sedihnya bukanlah diantara berlainan kaum tetapi diantara Melayu Islam sesama Melayu Islam. Mungkin boleh saja sebagai contohnya Melayu UMNO dengan Melayu PKR atau Melayu PAS atau Melayu NGO atau mungkin akan wujud Melayu lain tetapi mereka beragama sama iaitu Islam. Punca pergaduhan adalah perebutan kuasa untuk memerintah. Akhirnya manusia Melayulah akan rugi manakala bukan Melayu hidup harmoni seperti biasa kerana mereka bersikap berkecuali.

Memang kelakar permainan nujum sebagai hiburan ini tetapi berjaya mengusik hati kita. Lantas inginlah Tun Sheikh menasihati diri sendiri dan kepada kita semua yang mengaku Islam adalah lebih baik kita bersatu hati memperjuang dan memerintah dengan hak agama sebelum nafsu jahat ini mengusai diri. Yang mengerikan ialah analisis dari pakar sosiologi dan psikologi kebudayaan dan bangsa yang membuat kesimpulan bahawa hal sebegitu tidak mustahil akan berlaku di negara kita yang terdiri dari pelbagai bangsa jika bibit kesombongan dan kezaliman dan penganiayaan pemerintah kepada rakyat ketika ini tidak diberhentikan segera.

Bila ditanya apakah maksud kezaliman dan penganiayaan terhadap rakyat ketika ini. Mereka dengan tegas mengatakan sebagaimana dibentang dan diperjelaskan oleh golongan ulamak iaitu kerakusan kepada harta benda dan kewangan, rasuah kuasa dan harta benda, politik wang yang akan melahirkan pemimpin mata duitan dan pemimpin yang memerintah dengan hawa nafsu keduniaan. Memang belum lagi wujud dengan terang-terangan ketika ini tetapi benih-benih sedang aktif disemai ketika ini dan sejak dulu lagi oleh pemimpin Melayu yang tiada jati diri bangsa kecuali hanya kepentingan dirinya secara tersembunyi.

Teringat pesanan seorang ulamak yang telah kembali ke rahmatullah dulu yang pernah berfirasat memesan Tun Sheikh dan meminta berusahalah sampai-sampaikan pesanan beliau ini kepada mereka yang peka dan beringat. Beliau berpesan mulai dari sekarang didiklah diri, didiklah anak dan keluarga terdekat supaya mengamal dan menghafal surah Yassin. Insyaallah jika berlaku dengan takdir Allah hal sebegini, anak cucu kita yang sedang berada dalam kecemasan atau keperitan hidup dalam suasan ketegangan dan ketakutan akan berasa tenang dan terpelihara dari dahaga dan kelaparan. Pesan kepada mereka semuanya bahawa ketika Tuhan mendatangkan azab dan cobaan atau dugaan, semua akan menghadapinya termasuk orang yang beriman. Akan tetapi kadarnya tidak sama sebagaimana orang yang berdosa, orang yang awam yang biasa, orang baik yang berbudi dengan orang yang beriman yang dijamin ketenangannya oleh Allah.

Ya Allah… jadikanlah kami orang beriman dan selamatkanlah kami dari fitnah dunia ini… Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Saturday, April 3, 2010

TIGA TAHAP IMAN UTK DIRENUNGKAN

KEYAKINAN TUKANG KEBUN, PENOLONG KURATOR DAN PEGAWAI PENCEGAH MAKSIAT

Apabila menyebut perkataan keyakinan, sinonimnya ialah iman dalam agama, percaya dalam alam realiti dan tiada keraguan dalam fikiran. Dalam entri pertama sub blog Tun Sheikh ini, akan dinukilkan pengalaman pertemuan Tun Sheikh dengan tiga orang sahabat di atas. Ini tidak bererti berlaku dalam satu masa atau mereka seusia. Seorang sahabat Tun Sheikh bernama Salleh bekerja sebagai tukang kebun dan berusia 57 tahun. Seorang lagi Samin berusia 52 tahun bekerja di sebuah muzium dan Bahri bekerja di Pejabat Agama di Selangor sebagai pegawai pencegah maksiat berusia 54 tahun. Kesemua mereka masih hidup dan peristiwa berlaku ketika mereka berusia 4o tahun kecuali Salleh yang baru saja berlaku pada bulan November 2009 yang lalu.

Samin terasa dirinya sering diganggu ketika sedang bertugas. Namanya sering dipanggil dari suatu sudut yang tidak beliau pasti di tempat kerjanya di sebuah muzium. Kadang-kadan rakan sejawatnya juga mendengarnya. Dia telah berusaha menemui beberapa orang bomoh tetapi dia masih terus diganggu hingga pada suatu hari seorang ustaz mensarankan dia meminta nasihat atau pandangan Tun Sheikh. Dia seolah terkejut kerana selama ini dia memang mengenali Tun Sheikh tetapi tidak pernah mengetahui Tun Sheikh pernah terlibat dalam bidang itu. Tun Sheikh memang mengakui bahawa Tun Sheikh bukan seorang bomoh atau dukun. Kini telah 12 tahun berlalu dan difahamkan gangguan kedengaran suara itu telah berulang semula sejak 5 tahun yang lalu. Apabila ditanya, Samin mengaku dia tidak lagi mengamalkan apa yang Tun Sheikh sarankan iaitu sentiasa berwudhuk dan membaca fathiha dan 4 Qul setiap kali ketika keluar rumah mahu ke tempat kerja.

Apabila dia mula melakukan semula, dia dapati sudah tidak berkesan lagi. Dia mengaku sebenarnya dia tidak yakin pada Tun Sheikh sahabat yang sudah lama dikenalinya. Pada mulanya gangguan itu hilang tetapi bila memikirkan diri Tun Sheikh, dia menjadi malas dan mula hilang keyakinan. Dia baru-baru ini bertanya mengapa jadi begitu. Tun Sheikh hanya menasihatkannya supaya dia mencari guru dan latih elakkan diri dari taklid dan taksub kepada guru atau sesuatu pelajaran termasuk kepada amalan-amalan yang dilakukan. Taklid ialah rasa yakin berdasarkan penyampainya atau yakin kepada sesuatu ayat yang diamalkan tanpa mengetahui dan berasa yakin terhadap sumber atau pertaliannya dengan Allah.

Bahri pula sejak dari mula berkhidmat, telah terdedah dengan pelajaran agama hingga memiliki segulung ijazah dan menjawat jawatan pegawai pencegah maksiat. Pada suatu hari ketika sedang menjalankan tugasnya beliau telah dicabar oleh pasangan yang ditangkapnya. Pengalaman anihnya ialah beliau tiba-tiba saja merasa seram sejuk dan terkaku lidah. Pasangan yang melakukan maksiat itu ketawakannya dan terus pergi melepaskan diri. Setelah mereka hilang dari pandangan Bahri, beliau baru tersedar dan boleh berkemunikasi.

Apabila seorang teman lain suruh dia jumpa Tun Sheikh dia tersenyum dan mengatakan bahawa setahu dia Tun Sheikh hanya memilik Diploma Pengajian Islam sahaja manakala perasaannya berasa tidak pantas berbuat demikian kerana dia sendiri memiliki segulung ijazah dalam bidang agama Islam dari universiti terkenal di Kuala Lumpur. Dia pun tahu dan dapat mengagak paling-paling Tun Sheikh akan suruh mengamal surah Fathiha, 4 Qul dan ayatul Qursi yang biasa disuruh oleh para ustaz.

Cerita Salleh pula amat berlainan. Dia juga tidak mengetahui sangat tentang diri Tun Sheikh. Dia kenal Tun Sheikh sebagai kawan dan sebagai bekas pegawainya. Apabila dia bertemu, dia saja-saja meluahkan masalahnya. Dia kelihatan seperti mati akal atau hilang punca kerana telah berbagai usaha dilakukannya tetapi gagal memulihkan anak perempuan dan isterinya yang sering kerasukan apabila susah hati atau berhadapan tekanan. Dia tanya pada Tun Sheikh jika boleh tolong dan usahakan. Tun Sheikh hanya tanya dia bahawa syaitan dan manusia siapakah yang sempurna dan hebat. Dia jawab manusia dan yakin manusia. Kenapa pula macam itu. Dia kata Allah sudah tetapkan macam itu. Jadi Tun Sheikh suruhlah dia baca Fahiha, 4 Qul dan ayatul Qursi dan sembuhkan nafas ke air dan beri anak dan isteri minum, sapu di muka dan di dada dan boleh juga dibuat wudhuk dan sebagai air mandi. Dia pun melakukannya. Bila ditanya, dia yakinkah, dia kata saya ni tak sekolah tinggi tapi saya yakin Allah Maha Berkuasa.

Sudah lima bulan sekarang dan apabila bertemu Tun Sheikh dia tersenyum-senyum ceria. Tun Sheikh tanya mengapa......, dia jawab dia sudah jadi macam bomoh pulak, tolong buatkan air atau baca amalan yang Tun Sheikh suruh dulu kepada keluarga-keluarga terdekat. Anak dan isteri tidak merasuk lagi. Wah! hebatnya kamu.. dia kata, maaf Tun Sheikh...bukan saya atau ayat-ayattu yang hebat tetapi Allah Yang Maha Berkuasa.

Alhamdullillahirabillalamin.

Oleh Tun Sheikh
 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere