Monday, February 7, 2011

Saka, Qorin dan Dunia Nyata

Saka, Qorin dan Dunia Nyata

Jin & Syaitan Wujud Sampai Kiamat Walau Dunia Moden

Awal tahun 2011 atau pada minggu kedua Januari lalu, Tun Sheikh sibuk melayan tetamu misteri setelah mengurus persekolahan anak-anak di minggu pertama. Tetamu yang dimaksudkan ialah seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun yang memperkenalkan diri sebagai Kasnah daripada keturunan Sultan Husin Singapura, dibesarkan di Muar Johor juga berketurunan Kiai Salleh yang terkenal itu dari sebelah bapa dan sampai kepada Syarif Hidayahtullah Cerebon di sebelah ibu. Beliau mencari Tun Sheikh melalui blog ini setelah mengaku bermimpi mendapat arahan gaib dari seorang tua berserban. Orang tua itu juga pernah mengunjunginya di alam nyata ketika beliau terlantar di hospital kerana mengidap penyakit buah pinggang tetapi orang lain tidak nampak kecuali Kasnah. Orang tua itu menasihatkan beliau mencari seseorang yang mempunyai darah keturunan Sunan Gunung Jati Cerebon yang tinggal di Kuala Lumpur dan berulang alik ke Johor. Setelah dapat mengesan dan dapat menghubungi Tun Sheikh melalui internet, beliau menjemput datang ke rumahnya di Damansara berkenalan dengan keluarga dan suaminya dengan niat menyambung sirahturahim seketurunan.

Apabila ditanya apakah hajat sebenarnya, beliau menceritakan bahawa beliau mengidap penyakit yang pelik dipercayai terkena santau atau disihir oleh mereka yang dengki. Pada mulanya serangan itu tidak diendahkan dan telah tertuju kepada suami beliau seorang berbangsa Jerman berusia 62 tahun. Suaminya lumpuh dan terlantar hampir setahun. Beliau telah menjaganya dengan baik tetapi setelah suaminya sihat beliau pula menghidapinya dan beliau anggap sebagai penyakit misteri. Ini adalah kerana sebelum beliau diserang penyakit tersebut lelaki tua berserban serba putih itu telah beberapa kali datang dalam mimpi menasihati beliau supaya berjaga-jaga. Kasnah disihir kawan-kawannya kerana beliau bersikap sombong dan angkuh. Kawan-kawannya juga berasa dengki dan cemburu terhadap kejayaan beliau. Akibat dari serangan itu beliau mengidap sakit perut dan sakit pinggang.

Orang tua itu mengaku telah mendampingi Kasnah sejak kecil lagi tetapi Kasnah tidak ambil peduli atau ambil tahu atau tidak pasti apa yang dilaluinya kerana tidak percaya kepada benda gaib. Kasnah memberitahu Tun Sheikh bahawa orang tua itu ada juga suku sakat atau keluarga gaibnya. Mereka tidak suka kepada suami Kasnah seorang Jerman walaupun telah menganut Islam tetapi tidak mengamalkan syariat Islam. Mereka dipulaukan oleh jiran-jiran Melayu kerana memelihara anjing di rumah dan dituduh mengamalkan hidup cara Barat.

Apabila Tun Sheikh menyiasat asal-usul keturunannya dan bertemu dengan ibunya yang baru datang dari Singapura dan tinggal di Jakarta, maka jelaslah jalur darah dan pertemuannya dengan darah keturunan Tun Sheikh sendiri. Setelah mengetahui matlmat mereka, Tun Sheikh telah membuat solat hajat memohon petunjuk apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana membantu mereka. Dalam usaha dan ikhtiar Tun Sheikh, Tuhan telah mempermudahkan melalui penceritaan Kasnah dan ibunya sendiri. Mereka berdua sebenarnya bertelingkah kerana ibu Kasnah baru saja menemui Kasnah untuk menjaganya apabila mendengar Kasnah sakit dan lumpuh di Kuala Lumpur. Kasnah dibesarkan oleh keluarga bapanya di Muar yang tidak mempunyai anak perempuan tetapi tidak memakai istilah anak angkat kecuali anak pinjaman. Kasnah sebenarnya menghadapi konflik jiwa dan membawa haluan sendiri. Beliau berkecil hati kepada ibu kandungnya kerana telah meminjamkan dirinya untuk dipelihara oleh adik perempuan kepada bapanya di Muar.

Beliau telah melanjutkan pelajaran ke UiTM dan ke Jerman kemudian berkahwin di sana. Kasnah tidak suka menghubungi keluarga angkat atau emak saudaranya sendiri kerana mereka telah merampas harta pusaka bapanya di Muar atas alasan membiaya membesarkan Kasnah. Kecekalan dan ketabahan Kasnah telah membentuk keperibadian diri sebagai seorang yang tegas dan berkeyakinan tinggi. Sayangnya perasaan sombong dan bangga diri telah menguasai dirinya tanpa dia sedari. Beliau berjaya menubuhkan sebuah syarikat di Jerman dan enggan balik ke Malaysia. Kasna pernah berubat secara tradisional tetapi gagal kerana keluarganya mempunyai keistimewaan diri selaku pewaris dan pengamal ilmu Panglima Salleh. Beliau yang tidak percaya kepada hal atau kuasa gaib telah memperlekeh mereka dengan cara membuktikan kebolehan beliau dalam pelajaran dan perniagaan koperat. Jika sakit, beliau merujuk doktor pakar. Beliau sangat berbangga diri sebagai seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya dan menjadi orang berada pada usia yang masih muda.

Meskipun Kasnah tidak mempedulikan hal gaib, beliau terus terganggu dengan perkara-perkara yang pelik. Kasnah telah berterus-terang bahawa permintaannya terhadap Tun Sheikh bagi menjelaskan keadaan yang sedang dihadapinya ini juga adalah atas nasihat orang tua yang misteri itu. Antara peristiwa ganjil beliau ialah dihadiahkan dengan seutas tasbih dengan lambang kepala ular dalam mimpi dan ketika jaga dari tidur, beliau mendapati tasbih itu berada di atas perutnya. Pembantunya pula telah menjerit kerana terlihat seekor ular sawa besar yang aneh sedang berlegar-legar di pintu rumahnya di Damansara. Kasnah juga diarah ke Brunai dan Beijing menziarahi makam tertentu dan telah dilakukannya sebagai menunaikan hajat untuk kesembuhan suaminya. Ketika di Beijing, kunci makam telah terbuka dengan sendirinya apabila Kasnah membaca Fatihah yang disuruh oleh orang tua misteri itu. Begitu juga di Brunai, beliau telah dihadiahkan sebilah keris di sebuah makam setelah rombongannya membuat tahlil. Beliau juga menceritakan perihal beliau dibawa ke kaabah di Mekah di dalam mimpi.

Apabila Tun Sheikh menjelaskan hakikat syariat dan apa yang dikatakan manusia dan insan, hakikat mimpi dan jin, Tun Sheikh dapati Kasnah sangat berminat dan mengeluarkan hujah-hujah dan pengertian sehebat seorang Tok Guru pondok. Bila ditanya tentang keadaan pengetahuannya itu, beliau mengaku tidak tahu kerana tidak pernah belajar seperti Tun Sheikh kecuali dibisikkan oleh orang tua yang misteri itu. Lantas Tun Sheikh memperjelaskan kepada beliau mengenai hakikat Adam dan anak cucunya serta pengertian saka, jin dan syaitan serta qorin.

Kemuncak daripada pertemuan beberapa hari itu, setelah didesak oleh Kasnah dan ibunya agar Tun Sheikh membantu mereka, Tun Sheikh dipermudahkan oleh Allah dengan ilham dengan mengatakan kepada mereka bahawa pertemuan misteri antara Tun Sheikh dan keluarga beliau adalah untuk memberitahu beliau secara nyata peranan saka, jin dan qorin. Orang tua yang misteri itu bukanlah wali Allah sebagaimana didakwanya tetapi adalah saka dan qorin nenek moyangnya di sebelah bapa. Beliau tidak perlu tunduk dengan kehendak qorin dan saka itu tetapi tidak ada salahnya jika tidak menyalahi syariat. Untuk mengenal dan mahir terhadap syariat, Tun Sheikh menasihatkannya supaya mencari guru agama yang alim lagi mursyid. Apa yang dilalui beliau adalah dugaan dan sebagai penyuci kefasikan dan maksiat yang pernah beliau lakukan. Yang sangat penting ialah berusaha mematikan sifat sombong dan angkuh. Keturunan ulama yang diwarisi bersama oleh beliau & Tun Sheikh tiada ertinya jika hati sanubari memilih kebatilan sebagai pakaian dan amalan diri yang hidup hanya sementara di dunia ini. Kepada semua, marilah memohon perlindungan hanya kepada Allah Yang Maha Esa daripada sifat sombong dan pelbagai sifat yang dibenci Allah. Amin Ya Rabal Alamin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere