Saturday, October 29, 2011

Jangan Kahwin Dengan Orang Yg Taksub Kepada Bomoh

Jangan Kahwin Dengan Perempuan Atau Lelaki Yang Keluarganya Taksub Kepada Bomoh

Rina seorang gadis kampung di Johor berasal dari sebuah keluarga yang taksub kepada bomoh. Bapanya pernah menjadi orang tengah mendapatkan perkhidmatan bomoh kepada beberapa orang politik UMNO ketika piliharaya. Kemewahan ahli politik telah mempengaruhi ibubapanya untuk mengahwinkan Rina dengan pemimpin UMNO. Tetapi tiada ahli politik yang masih bujang disukai oleh bapanya kerana mereka masih tidak stabil dan terumbang-ambing kewangannya. Manakala tiada pula ahli politik yang kaya dan mewah meminati Rina kecuali yang telah beristeri dua atau tiga tetapi tidak direstui oleh kedua orang tuanya.

Rina ialah anak sulung daripada lima beradik dan mempunyai raut wajah dan tubuh yang menarik dan cantik. Malangnya tanpa disedari ibubapanya yang suka bertandang ke rumah bomoh, kecantikan Rina dianggap pemuda kampung dan yang mengenali keluarganya adalah tidak asli kecuali hasil memakai susuk. Cerita keluarga Rina yang begitu taksub kepada bomoh cepat tersebar di tempat Rina bekerja di Johor Bahru kerana ramai orang kampungnya bekerja di pejabat yang berhampiran dengan Rina malah ada tiga orang kawan-kawan kampungnya yang sepejabat dengan Rina.

Apabila ramai sahabat sebaya bertemu jodoh, Rina berasa tertekan. Teman-teman lelaki yang menyukainya pula dirasanya tidak serius kecuali ingin mengambil kesempatan dan ada yang ingin menguji ilmu penunduk mereka samada boleh memikat Rina yang disangka memakai susuk atau saka keluarga. Ada yang sanggup menguar-uarkan fitnah mengaku telah meniduri Rina dan ada juga yang berterusterang gagal memikat Rina kerana susuk atau saka Rina dikatakan lebih hebat. Hal Rina mendapat ikon sebagai seorang gadis yang cantik kerana susuk atau saka telah menjadikan Rina berada dalam dilemma.

Akibat dari cerita tentang keluarga dan kecantikannya itu telah menjauhkan diri pemuda yang betul-betul ingin mencari jodoh daripada Rina. Akhirnya Rina bertindak dengan istilah tangkap muat dan pernah bertunang sebanyak tiga kali tetapi setelah hampir dengan tarikh pernikahan, bapanya telah memutuskan pertunangan itu di luar pengetahuan Rina dengan alasan mereka tidak sesuai kerana kewangan mereka tidak stabil. Rina dipengaruhi malah sebagai syarat agar mencari yang berharta jika ingin berkahwin dan ingin mencari jodohnya sendiri.

Ketika usia Rina menjangkau 30 tahun, dia telah diperkenalkan oleh kawannya kepada seorang ustaz yang dipercayai boleh memulihkan saka. Rina telah mencurahkan segala isi hati dan rahsia peribadinya kepada Ustad Md Noor yang berusia 10 tahun tua daripadanya. Akhirnya Rina telah jatuh hati dengan ustaz yang berusaha memulihkannya dengan memberi nasihat agama dan perubatan Islam. Sedang Ustaz Md Noor dengan bantuan isterinya berusaha mengubati Rina, Rina telah sengaja bertindak nekad menggoda dan menyerahkan mahkotanya kepada ustaz beranak 6 itu tetapi ditolak dengan baik . Rina terus mengoda ustaz walau didepan isterinya dan mengancam akan membunuh diri, jika hajat dan keinginannya ditolak. Kerana tidak tertahan dengan kerenah Rina dan bagi mengelak fitnah, isteri Ustad Md Noor mengizinkan suaminya bernikah dengan Rina. Beliau sejak awal telah mengesan bahawa bukanlah susuk atau saka yang menguasai atau mempengaruhi Rina tetapi adalah keperibadian dan perangai Rina sendiri yang terbentuk hasil didikan ibubapanya.

Ibubapa Rina tidak bersetuju dengan jodoh pilihan anak gadisnya itu tetapi kerana Rina mengancam akan membunuh diri jika kehendaknya tidak diikuti, ibubapanya terpaksa mengikut dengan rasa dendam kepada Ustad Md Noor. Mereka menyangka dan percaya bahawa Ustad Md Noor telah menggunakan ilmunya untuk memikat anak gadisnya yang cantik tanpa mempercayai bahawa Rina sendiri yang berakhlak buruk.

Setelah bernikah, ibubapa Rina terus berikhtiar mencari bomoh bagi menundukkan Ustad Md Noor. Kerap kali juga ustad mengadu kepada Tun Sheikh bahawa beliau kadang kala mengidap penyakit pening yang tiba-tiba tanpa sebab dan punca. Apabila dibacanya surah lazim, penyakitnya itu hilang. Beliau kerap juga berasa jari-jari tangan dan kakinya seperti ditusuk jarum malah beliau pernah berhadapan dengan jin saka keluarga Rina berkepala separuh ular separuh manusia berwajah ibu Rina, mencabar Md Noor di alam gaib. Beliau percaya dirinya diserang oleh makhluk gaib sehingga terbawa-bawa dalam mimpi dan igauan. Pelindung dan amalan beliau hanyalah berserah dengan Allah dan zikirullah.

Tun Sheikh hanya berpesan kepada beliau bahawa disebabkan amalan beliau sejalan dengan syariat Islam maka usah terkejut atau bermasalah apabila mendapati apa-apa yang dihantar secara gaib itu akan kembali kepada penghantar dan keluarganya atau kepada Rina sendiri. Contohnya jika benda pembenci dihantar dan gagal kerana kita mengamalkan pendinding yang diajar Rasulullah saw maka akan balik kepada tuannya dan dia yang membenci kita. Ini diakui oleh Ustad Md Noor kerana Rina begitu liat hendak bersolat dan menjauhkan dirinya di tempat tidur seolah-olah membenci suami di samping sangat menyombong diri, kebersihan dan kemasan rumah yang tidak teratur dan lintang pukang serta pemalas.

Nasihat Tun Sheikh kepada anak-anak muda di luar sana agar menyiasatlah diri perempuan atau lelaki yang ingin dikahwini samada keluarganya pengamal ilmu bomoh, sihir atau mempunyai saka yang pelik-pelik atau anih yang tidak mengikut syariat agama dan sebagainya kerana memang dasar jin dan syaitan jika tidak dapat bapa atau ibu, maka anak dan keturunan mereka akan dipulaskan. Untuk mudah faham adalah lebih baik usah berkahwin dengan mereka jika kita sendiri kurang mantap ilmu tauhid kerana anda akan menjadi mangsa dan gangguan saka mereka sampai ke anak cucu. Syaitan akan terus berusaha tanpa putus asa mengganggu untuk menyesatkan kita sehingga ke anak cucu.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Tanjung Balau, Kota Tinggi Johor.

1 comment:

  1. Terima kasih kerana berkongsi cerita yang bermanfaat. Masyarakat Melayu masih tidak dapat lari dari penggunaan bomoh.

    Saya turut menulis tentang perkara ini di: http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=1529

    ReplyDelete

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere