Wednesday, April 21, 2010

JANGAN PERCAYA TEORI RAHMAN

TEORI RAHMAN SEKADAR HIBURAN TAPI MESTI DALAM KEWASPADAAN

Disebabkan banyak sms dan e-mel yang Tun Sheikh terima berkenaan dengan Teori RAHMAN, sukalah dinasihatkan di sini agar jangan sekali-kai meyakininya. Ini telah diperjelaslah bahawa keadaan spekulasi dan jangkaan itu sendiri telah membuktikan bahawa Teori RAHMAN hanyalah mainan politik saja. Tidak satu pun yang tepat. Contohnya pernah satu ketika mereka percaya Encik Ghafar Baba dan Anuar Ibrahim akan menjadi PM. Malah nama Abdullah dan Najib tidak pernah disebut bakal menjadi PM ketika teori ini diuar-uarkan.

Nilainya sebagai hiburan dan kita terimalah sebagai hiburan. Meskipun nama tokoh-tokoh besar dijadikan watak utama tetapi hendaklah kita anggap ini semua hanyalah picisan saja. Sebesar mana pun tokoh seperti YM Tunku, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan lain-lain dipergunakan tetapi mereka sebenarnya tidak terlibat kecuali dipakai saja nama mereka kerana mereka adalah public figure untuk penyedap cerita oleh mereka yang suka berhibur. Tambah pula ini adalah perkara nujum dan menjadi larangan keras dalam agama.

Ada yang bertanya siapa dan apa selepas RAHMAN kerana ketika ini telah dianggap sempurna. Jika mengikut dongeng ketua sami Hindu yang pertama dulu mengatakan bahawa apabila lengkap RAHMAN maka melimpah ruahlah rahmat Tuhan yang bersifat Rahman kepada Malaysia. Malaysia akan berada dalam kehermonian dan kemakmuran. Rakyatnya akan hidup aman damai dan bahagia dalam kenikmatan dan kekayaan. Tidak terdengar pula siapa pemimpin selepas itu kerana ini memberi gambaran selepas Najib barulah makmur. Memang kelakar tapi biarlah kerana ia memang sesuai sebagai hiburan atau penglipur lara saja.

Tidak pula begitu mengikut ahli firasat nujum muda dari negeri Perak yang dipercayai murid kepada ketua sami Hindu yang terkenal di India itu. Beliau menjangkakan bahawa kuasa pemerintah sekarang akan beartukar tangan setelah Najib. Dengan kata lain, bukan lagi BN yang berkuasa tetapi mungkin pembangkang dan tiada apa yang buruk berlaku tetapi rakyat hidup dalam ketegangan kerana bekas pemerintah atau mungkin malu hendak disebut sebagai BN secara senyap-senyap mengumpul tenaga ke arah rampasan kuasa yang bersifat ekstrimis dan teroris. Ini adalah disebabkan kehidupan mereka tergugat dan budaya hidup mereka seperti ketika mereka berkuasa tidak lagi dapat diamalkan dan dinikmati dengan bergaya.

Setelah tamat sepenggal atau beberapa penggal PM pertama selepas Najib akan naik pula pemimpin yang tidak dijelaskan dari barisan mana akan memerintah menggantikan PM selepas Najib. Pada ketika ini lah dijangka porak peranda berlaku dan hidup melarat dan kucar-kacir kerana berlaku keganasan dan pertumpahan darah. Yang sedihnya bukanlah diantara berlainan kaum tetapi diantara Melayu Islam sesama Melayu Islam. Mungkin boleh saja sebagai contohnya Melayu UMNO dengan Melayu PKR atau Melayu PAS atau Melayu NGO atau mungkin akan wujud Melayu lain tetapi mereka beragama sama iaitu Islam. Punca pergaduhan adalah perebutan kuasa untuk memerintah. Akhirnya manusia Melayulah akan rugi manakala bukan Melayu hidup harmoni seperti biasa kerana mereka bersikap berkecuali.

Memang kelakar permainan nujum sebagai hiburan ini tetapi berjaya mengusik hati kita. Lantas inginlah Tun Sheikh menasihati diri sendiri dan kepada kita semua yang mengaku Islam adalah lebih baik kita bersatu hati memperjuang dan memerintah dengan hak agama sebelum nafsu jahat ini mengusai diri. Yang mengerikan ialah analisis dari pakar sosiologi dan psikologi kebudayaan dan bangsa yang membuat kesimpulan bahawa hal sebegitu tidak mustahil akan berlaku di negara kita yang terdiri dari pelbagai bangsa jika bibit kesombongan dan kezaliman dan penganiayaan pemerintah kepada rakyat ketika ini tidak diberhentikan segera.

Bila ditanya apakah maksud kezaliman dan penganiayaan terhadap rakyat ketika ini. Mereka dengan tegas mengatakan sebagaimana dibentang dan diperjelaskan oleh golongan ulamak iaitu kerakusan kepada harta benda dan kewangan, rasuah kuasa dan harta benda, politik wang yang akan melahirkan pemimpin mata duitan dan pemimpin yang memerintah dengan hawa nafsu keduniaan. Memang belum lagi wujud dengan terang-terangan ketika ini tetapi benih-benih sedang aktif disemai ketika ini dan sejak dulu lagi oleh pemimpin Melayu yang tiada jati diri bangsa kecuali hanya kepentingan dirinya secara tersembunyi.

Teringat pesanan seorang ulamak yang telah kembali ke rahmatullah dulu yang pernah berfirasat memesan Tun Sheikh dan meminta berusahalah sampai-sampaikan pesanan beliau ini kepada mereka yang peka dan beringat. Beliau berpesan mulai dari sekarang didiklah diri, didiklah anak dan keluarga terdekat supaya mengamal dan menghafal surah Yassin. Insyaallah jika berlaku dengan takdir Allah hal sebegini, anak cucu kita yang sedang berada dalam kecemasan atau keperitan hidup dalam suasan ketegangan dan ketakutan akan berasa tenang dan terpelihara dari dahaga dan kelaparan. Pesan kepada mereka semuanya bahawa ketika Tuhan mendatangkan azab dan cobaan atau dugaan, semua akan menghadapinya termasuk orang yang beriman. Akan tetapi kadarnya tidak sama sebagaimana orang yang berdosa, orang yang awam yang biasa, orang baik yang berbudi dengan orang yang beriman yang dijamin ketenangannya oleh Allah.

Ya Allah… jadikanlah kami orang beriman dan selamatkanlah kami dari fitnah dunia ini… Amin.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere