Wednesday, March 30, 2011

Paku Di Kepala Itu Milik Aku

Paku Di Kepala Itu Milik Aku
Dakwahmu Gagal Melerai Simpul Kesesatan


Tun Sheikh masih dalam dimensi. Kali ini ingin Tun Sheikh menukilkan pengalaman yang patut sama-sama kita fikirkan bagaimana peranan tentera syaitan kepada manusia yang gelojoh dengan keduniaan. Syaitan sungguh bijak berselindung dari pelbagai alasan dan bijak memujuk hati-hati yang tidak diisi dengan ketawadhukan dan kesyukuran kepada yang berhak. Syaitan tidak malu menipu dan beria-ia bersumpah bahawa mangsanya telah mengikat janji dan tiada hak lagi orang lain untuk campurtangan untuk menghapus dan membatalkan atau menyelamatkan mangsa gangguan syaitan itu. Namun yakinilah, selagi kita bernafas dan nyawa sendiri belum sampai ke kerongkongan maka kita masih berpeluang untuk menyelamatkan diri sendiri atau membantu menyelamatkan saudara seagama kita mahupun orang yang lain agama dengan izin Allah jua.

Haji Manaf seorang yang agak warak dan mempunyai keluarga yang ramai. Dia adalah pesara kerajaan dan menjadi siak di sebuah masjid di Selayang. Beliau tidaklah begitu daif tetapi pernah merungut kerana sampai ke usia tua tidak pernah merasai kemewahan. Suatu hari para sahabat dan jemaah terperanjat beliau berbelanja sakan dan banyak menderma sehingga dijangkakan diluar kemampuannya. Rupa-rupanya apabila disiasat dengan baik oleh sahabat baiknya, beliau telah menang loteri hasil daripada mimpinya bertemu dengan seorang tua yang anih menyuruh dia membeli loteri.

Para jemaah percaya dan yakin, Haji Manaf akan mendengar nasihat mereka kerana beliau bukan jenis orang yang bernafsu atau berselera besar. Walaupun sudah tiga bulan Haji Manaf sempat bergaya dengan merahsiakan punca perolehan kewangannya dan sempat melancong ke negara jiran, beliau akur dengan nasihat ikhlas para sahabat dan sejemaah masjid yang bertemu dengannya setiap hari. Haji Manaf meskipun kelihatan berat hati tetapi beliau telah menyerahkan semua baki wang loteri kepada pihak masjid untuk disalurkan ke tempat yang betul. Tiga hari setelah penyerahan baki duit loteri itu, beliau mengidap sakit kepala yang amat sangat. Pada mulanya para sahabat menyangka Haji Manaf terlalu banyak memikirkan, atau berasa menyesal dengan perbuatannya itu. Ada juga yang menduga beliau menyesal membeli loteri dan sempat membelanjakannya dan menikmati kemewahan selama tiga bulan. Pelbagai persepsi dan dugaan yang kedengaran termasuk ada yang mengatakan Haji Manaf bodoh dan menolak rezki.

Dalam usaha dan ikhtiar keluarganya mendapatkan rawatan untuk Haji Manaf, mereka berasa buntu. Ini adalah kerana doktor pakar juga tidak dapat mengesan dan mengenal pasti apakah punca sebenarnya sakit kepala yang menyerang Haji Manaf. Sebahagian daripada keluarganya ada yang menuding pihak jemaah masjid kerana berdiam diri dan tidak ada siapa yang membantu menghulurkan perbelanjaan rawatan. Akhirnya Haji Manaf dibawa mendapatkan rawatan tradisional. Beberapa orang pengamal rawatan tradisional mendakwa Haji Manaf telah disihir dan ada yang mengatakan ada sebatang paku telah dipaku di kepalanya oleh pawang Cina atau hantu Cina.

Kumpulan kami yang diketuai oleh Tokku Raja telah diminta untuk membantu. Ketika kami sedang berzikir, Haji Manaf mula meracau dengan mengatakan kami tidak akan berjaya kerana paku di kepala Haji Manaf adalah milik hantu wayang Cina berpangkat raja. Bila ditanya siapakah yang berkata-kata itu, entiti yang merasuk Haji Manaf memperkenalkan diri sebagai kadam suruhan seorang pawang besar yang mengubati Haji Manaf. Entiti itu mengaku sedang berbincang dengan hantu wayang Cina itu supaya bersetuju mencabut paku miliknya di kepala Haji Manaf. Apabila ditanya apakah pemilik paku itu bersetuju, entiti itu memberitahu kami bahawa hantu wayang cina itu tidak mahu berkompromi. Dia telah menunaikan permintaan Haji Manaf untuk kaya dan mendakwa Haji Manaf telah berjanji tidak akan bekerja di Masjid sebagai siak.

Tokku Raja telah meminta kadam itu pergi kerana tidak perlu mendampingi Haji Manaf lagi jika hantu wayang cina itu sendiri tidak mahu mendengar dan menurutinya. Persengketaan antara mereka biasanya akan dideritai oleh pesakit. Apa yang kami faham, hantu wayang Cina yang berpangkat raja memang tidak pernah beralah atau tunduk dengan kadam-kadam bawahan. Jika kadam pawang atau bomoh tidak berpangkat raja atau setanding dengan mereka, maka mereka akan diusir dan diherdik malah akan didera. Jika taraf mereka sama, mereka juga akan bergaduh sesama sendiri dan diri pemilik tubuh yang menderita.

Kami terus saja berzikir dan hantu wayang cina itu berjanji akan pergi. Haji Manaf pun pulih walaupun dalam keadaan keletihan. Tiga hari kemudian, penyakit kepala Haji Manaf berulang kembali dan apabila kami datang berzikir, beliau pun pulih dan apabila kami balik, beliau diserang semula. Akhirnya Tokku Raja mengancam akan membakar perkampungan mereka dan hal ini di dengari oleh keluarga Haji Manaf. Tanpa pengetahuan kami, mereka telah pergi bertemu bomoh Cina di kuil Budha berdekatan . Mereka telah dibekalkan air hujan yang terdapat dalam kolam di kuil itu untuk memandikan Haji Manaf. Dengan sekali mandi Haji Manaf pulih seperti sediakala. Haji Manaf menganggap musibah itu adalah dugaan kepadanya dan beliau amat kesal kerana semenjak daripada itu banyak ahli keluarga beliau telah merujuk bomoh Cina itu apabila berasa sakit dan mengesyaki penyakit itu daripada gangguan makhluk halus.

Apabila ditanya kepada Tokku Raja, beliau berkata semasa beliau berinteraksi dengan hantu wayang cina itu, hantu itu mencabarnya dengan mengatakan iman itu adalah ketetapan tuhan. Aku akan mengambil semula paku milikku di kepala Manaf kerana kamu semua mengganggu kerja-kerja aku. Tetapi kamu akan melihat keluarga Manaf akan berjaya aku pengaruhi.

Kami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menasihatkan seluruh keluarga Haji Manaf supaya memohon perlindungan daripada Allah dan itu adalah terserah kepada mereka.Kami difahamkan bahawa tidak kiralah apa nama hantu yang dipakai, sebenarnya makhluk itu adalah syaitan.Syaitan berupaya mengganggu kita dan kemudian berpura-pura merawat dan kemudian memulihkan. Tetapi jika kita sentiasa berzikir mengingati Allah dan memohon perlindungan Allah daripada segala musibah dan kuasa syaitan maka tidak ada hak dan kuasa syaitan untuk mengganggu kita kerana mereka akan terbunuh dengan kuasa Allah. Sudah pasti mereka tidak mahu mati sehingga hari kiamat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere