Tuesday, April 26, 2016

Orang Kampung Sudah Tahu Tapi Masih Kabur



Orang Kampung Sudah Tahu Tapi Masih Kabur

Bila ditanya orang kampong sama ada mereka tahu atau tidak khazanah sedang dicuri oleh pemimpin negara,  mereka macam terlopong mulut. Bila ditanya adakah patut seorang pemimpin yang diamanahkan mengurus kekayaan negara mencuri, mereka menggeleng kepala. Tapi bila ditanya siapakah mereka akan pilih menjadi pemimpin mereka, mereka tidak berubah memilih tokoh yang sama meskipun mengetahui bahwa tokoh berkenaan telah menyeleweng.

Soalan diteruskan mengapa mereka masih memilih atau cenderung menjadikan tokoh berkenaan sebagai ketua dalam politik? Mereka menjawab itu semua macam tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka seharian. Jadi apa yang ada dalam fikiran mereka? Mereka mengatakan bahawa, asalkan hidup mereka seperti biasa tiada gangguan dan diberi sedikit kemudahan seperti buatkan lorong atau jalan,  bekalan air dan elektrik bersepadu atau dengan hanya menghormati budaya hidup mereka, sedikit buah tangan dan hadiah sudah memadai dan mengembirakan. Selain daripada itu tidak diharapkan sangat kerana mereka seperti biasa, tidak mencari popularity dan kekayaan. Hidup sederhana amat membahagiakan. Ini adalah kesimpulan dapatan dari satu penyelidikan rambang di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Dapatan dibawah pula adalah kesimpulan dari penyelidikan rambang yang dibuat oleh kumpulan banci parti politik dari barisan pembangkang terhadap penduduk luar bandar dan kampong di Semenanjung. Siapakah yang akan mereka pilih selaku tokoh atau ketua mereka dalam politik atau untuk memerintah negara? Mereka jawab sesiapa yang ada kaitan dengan kerajaan sediaada. Kenapa mereka mengatakan begitu? Mereka menjawab bahwa kerajaan sekarang sudah menampakkan hasil kemajuan dan perubahan kehidupan berbanding pembangkang yang belum pernah.

Bila ditanya bukankan mereka telah mendengar keharmonian hidup yang lebih baik di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang seperti Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Mereka menjawab itu adalah keadaan negeri itu tetapi kami dikuasai atau dipengaruhi secara menyeluruh oleh kerajaan sejak dulu lagi. Adakah mereka mengharap penghidupan ini akan lebih baik lagi? Mereka menjawab bahwa mereka yang bekerja dan berusaha dan hidup seharian berjalan seperti biasa. Mereka tidak nampak manfaat atau faedah yang besar jika tidak menyokong kerajaan sedia ada.

Kesimpulannya mereka masih terpengaruh untuk mengekalkan kerajaan kerana karenah mahupun penyelewengan pemimpin politik tidak begitu dirasai oleh mereka yang tinggal di luar bandar, desa  atau kampung-kampung.

Penyelidikan telah diteruskan dengan melakukan analisa fakta-fakta dari maklumat banci mendapati 80% makluman dan penjelasan terhadap keburukan salahlaku dan penyelewengan yang telah membudaya dalam parti pemerintah dan ini diberi pencerahan kepada penduduk desa, luar bandar atau kampong-kampung di Semenanjung adalah didapati dan difahami oleh mereka daripada anak-anak muda mereka yang berkesempatan melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti diploma dan ijazah tidak kira di Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Institut Pengajian Tinggi Swasta.

Di sini, secara tidak langsung membuktikan bahawa sistem demokrasi memberi hak pilihan setiap individu  mengundi sebenarnya tidak berimbangan. Orang ramai masih terdedah dengan pengaruh dan penipuan ketika kuasa undi diberi kepada mereka. Mereka mudah digula-gulakan. Lebih-lebih lagi di negara ini kuasa mengundi orang kampong masih berada dalam kedudukan 65%. Pencerahan mengenai penyelewengan dan sebagainya sampai kepada mereka melalui taraf pendidikan anak-anak muda mereka. Oleh itu maklumat sebegini seharusnya dikaji lagi untuk menghasilkan pelan tindakan menambahbaik budaya mentabir kuasa yang diamanahkan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan. Yang terpenting ialah tokoh yang diberi amanah menjalankan kuasa kerajaan adalah terdiri daripada individu yang jujur, amanah dan sentiasa berusaha, bekerja dan memikirkan standard tertinggi dan terbaik untuk rakyat dan negara yang memberi kuasa kepada mereka.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Benut Pontian 3.3.2016
 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere