Sunday, October 3, 2010
BERZIKIR MAKSUDNYA BERINGAT KEPADA ALLAH
‘Pakcik sudah berusia 80. Kalau ikut sains perubatan, saya hanya berani kata pakcik ada peluang 5050 sahaja, tetapi terserah pakcik…’
Itu adalah kata-kata seorang pakar bedah berbangsa Cina 2 tahun lalu kepada Pakku Raja hasil keputusan pemeriksaan terhadap jantung dan sistem pernafasannya. 5050 bererti peluang untuk hidup hanya 50% dan peluang mati juga 50%. Agak terkejut Pakku Raja mendengarnya kerana selama ini beliau tidak pernah diserang sesak nafas atau susah bernafas. Baru itu pertama kali dan beliau dinasihatkan melakukan pembedahan pintas agar pernafasan pulih sedia kala. Jika beliau tidak mahu melakukan pembedahan, doktor menjangkakan sisa umurnya tidak akan bertahan lama. Serba salah juga Pakku dan ahli keluarganya hendak membuat keputusan. 5050 sebenarnya kosong dan bergantung nasib saja. Manakala jika dibiarkan, dikhuatiri saluran nafas yang tersumbat bertambah parah dan boleh mengakibatkan kematian pada bila-bila masa saja.
Pakku Raja pada mulanya ingin membiarkan saja memandangkan usianya pun telah lanjut. Kalau bedah pun bukannya berpeluang besar yang meyakinkan. Ketika buntu membuat keputusan beliau mula terkenang sanak saudara kaum keluarga dan sahabat handai yang hendak ditinggalkan buat selamanya tetapi apabila beliau terkenang seorang sahabat, murid dan juga seperti anak angkat kepadanya beliau mula sebak kerana dengan anak angkatnya ini banyak hal-hal di luar dimensi dilalui dan dialami bersamanya. Beliau berasa sedih kerana anak angkatnya ini seperti murid yang nakal dan sering mengembara di kawasan larangan. Sering kali ditangkapnya dan seringkali juga ingatan kepada anak angkatnya ini membuat dirinya sendiri insaf dan berupaya mengembara jauh di dimensi yang tidak bertepi itu. Akhirnya beliau mengakui bahawa anak angkatnya ini dengan dirinya saling ada hubungan jiwa dan batin. Saling berguna dan ada faedah kebaikan pada diri masing-masing.
Ketika teringatkan anak angkatnya yang nakal dalam beramal inilah beliau seperti diperli agar mencoba dari menyerah diri dan tawakal menghadapi kematian sebelum mencoba dan beriktiar. Beliau lantas terus berjumpa doktor dan menandatangani surat bersetuju menjalani pembedahan. Doktor pada mulanya agak terkejut dan menjelaskan beliau terpaksa segera melakukannya sebelum Pakku Raja diintai kelemahan fizikal kerana faktor usianya. Mengikut kebiasaan, pesakit yang dibedah seperti Pakku Raja perlu berehat panjang sekurang-kurangnya sebulan. Jika kuat dan masih muda biasanya memerlukan rehat selama seminggu dua.
Di hari pembedahan, Pakku Raja dihantar dengan kesahyuan airmata seluruh keluarganya kerana mereka tidak yakin Pakku akan keluar dengan nafas baru. Pakku tidak terkata apa kecuali ekor matanya saja membelek satu persatu wajah anak isteri dan cucu-cucunya buat kali terakhir. Anak angkatnya yang nakal pun tidak ada lantas beliau terus berimejenasi bersama-sama berzikir dengannya dan dengan kawan-kawan lain. Zikir berjemaah biasa. Apabila selesai berzikir yang tidak sampai 15 minit beliau terdengar namanya dipanggil dan rupa-rupanya itulah suara doktor pakar yang telah selesai membedahnya dengan jaya selama 3 jam dan Pakku Raja direhatkan selama 5 jam. Setelah sadar beliau seperti biasa mahu bangun dan pergi kerana tiada rasa apa-apa kesakitan mahupun kejanggalan. Pakku Raja juga hairan kerana beliau berasa baru 15 minit tetapi pada hakikatnya sudah 8 jam.
Doktor pakar itu juga berasa aneh kerana setelah diperiksanya didapati Pakku sihat dan boleh keluar dari hospital keesokan harinya. Hari berikutnya Pakku sudah keluar rumah menziarah saudara mara seperti biasa dilakukannya. Pakku Raja juga tidak lupa menelefon dan menemui anak murid atau anak angkatnya yang nakal itu menasihatkannya agar terus berzikir kerana itu adalah anugerah Allah dan beliau telah diperlihatkan keistimewaan dan rahsia zikirullah itu.
Awal ramadhan 2010 lepas, sekali lagi Pakku Raja diserang penyakit tetapi bukan sesak nafas kecuali rasa kebas-kebas sebelah badan. Apabila dibawa pemeriksaan doctor pakar, beliau didapati bakal lumpuh seluruh badan jika terlambat mendapat rawatan. Pakku Raja telah dimasukkan ke wad dan seminggu beliau terlantar di hospital. Lidahnya kelu dan segala anggota badannya tidak lagi bertindak mengikut arahannya. Beliau memahami tutur kata kaum keluarga tetapi mereka melihat beliau dengan putus harap kerana tiada tindak balas dari Pakku.
Setelah Pakku Raja sendiri telah putus harapannya kepada seluruh anggota fizikalnya beliau terilham bahawa beliau masih boleh berfikir tetapi sia-sia untuk memahamkan orang lain. Malah fikirannya yang melayang-layang dirasainya sia-sia saja lalu Pakku Raja terus berzikir setiap detik sehingga beliau kepenatan dan terlelap. Apabila terjaga dari tidur, beliau terasa sihat seperti biasa kecuali tutur katanya masih tidak sinkronis atau selari dengan tindak balas lidah. Beliau dimaklumkan telah tidur atau koma selama 2 hari. Setelah berehat 3 hari di hospital, beliau dibenarkan pulang dan ketika Tun Sheikh menziarahi Pakku pada 27 Ramadan, beliau menasihatkan Tun Sheikh agar serius berzikir dan jangan putus lagi. Ini adalah kerana beliau diperlihatkan dengan aura berzikir ketika beliau sedang koma.
Berzikirlah dengan mengingat sentiasa kepada Allah. Berzikirlah dengan penuh perasaan dan pandangan hanya tertumpu kepada Allah di hati dan menilik ke hati. Rahsianya seperti yang dialami oleh Pakku Raja. Dan zikir itu membawa ketenangan dan kekuatan kerohanian. Andaikata berpisah roh dengan jasad ketika sedang berzikir maka ketika itu juga roh akan disambut oleh Allah dan di tempatkanNYA sebagai golongan kanan. Itulah orang yang berbahagia.
Berbagai perasaan dirasai oleh Tun Sheikh ketika mendengar nasihat dan pesanan Pakku Raja…yang paling menyeret dan menyayat ialah watak anak angkat yang nakal itu…………adalah Tun Sheikh…….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Tuesday, August 24, 2010
AMAL KEBAIKAN BAGAI BUNGA YANG HARUM
Bagai Bunga Yang Harum Mewangi
Di bulan Ramadhan atau bulan puasa ini, umat Islam bukan semuanya terikat untuk menambah amal ibadah. Islam hanya menyediakan wadah dan saranan malah panduan terhadap waktu, tempat atau keadaan yang baik dan terbaik untuk beramal. Itulah antara kehebatan dan kesempurnaan Islam ini. Tiada paksaan dalam beragama dan kitalah yang merancang, berusaha dan berikhtiar untuk kebaikan dan keuntungan diri kita sendiri.
Pada hakikatnya, hal untuk melakukan perbuatan dan amalan baik adalah mengikut pembawaan dan pilihan diri masing-masing. Pembawaan adalah sikap atau perangai yang biasa. Dan perangai tingkah laku yang biasa ini terhasil dari pelbagai pengaruh sepanjang penghidupan yang telah dilalui. Manakala pilihan diri sendiri adalah kehendak atau perancangan diri sendiri dengan kuasa ikhtiar dan usaha untuk mencapai matlamat yang hendak digapai.
Budaya kebaikan adalah mengikut kelaziman dan kebiasaan seseorang hingga terpancar sebagai sikap, perangai atau adab. Jika ada sesuatu hal atau perubahan diri seseorang yang biasa melakukan maksiat kepada amalan baik seperti bertaubat maka itu adalah rezkinya. Jika dikaji biasanya orang itu adalah berasal dari golongan atau keluarga atau keturunan yang baik-baik. Biasa juga jika seseorang itu pernah berkelakuan atau beradab sopan tetapi kerana pengaruh lingkungan atau sesuatu perististiwa yang mengakibatkannya bertukar perangai dari beradab kepada biadab, bertukar sikap kepada baik semula atau berbalik ke pangkal jalan adalah suatu kebarangkalian dan kemungkinan yang lumrah.
Atau jika seseorang itu pernah menikmati apa-apa atau sesuatu impak dari kebaikan orang lain terhadap dirinya ketika berada dalam keadaan lemah tidak berdaya hingga terkesan dan insaf, ini juga dianggap lumrah pada penghidupan. Dan kebarangkalian dan berkemungkinan perubahan perangai atau adab kepada seseorang itu yang berubah menjadi baik dari perwatakan jahat dari kumpulan ini mempunyai peratusan yang besar boleh berlaku.
Mesej di sini ialah jika kita berasal dari keturunan yang tidak baik dan hidup berterusan di dalam suasana yang tidak sihat, kasar dan liat maka adalah payah untuk kita berubah menjadi baik. Ini adalah kerana matahati kita telah terbalik melihat yang biasa jahat dan buruk itu sebagai baik dalam keadaan kita. Padahal yang sebenarnya tidak baik di pandangan mata orang yang berada di luar pengaruh suasana kehidupan buruk kita.
Bulan puasa bukanlah jaminan kepada kita untuk menyakini bahawa orang yang jahat dan biadab boleh menjadi baik jika mereka memang jenis atau berasal-usul dari kelompok atau keluarga yang biadab tegar. Cuma ada dua kemungkinan apabila seseorang yang sungguh biadab atau mempunyai amalan dan perangai biadab tiba-tiba dengan tidak disangka-sangka berubah menjadi baik dan besopan santun iaitu hasil daripada doa manusia dan takdir Illahi . Pun begitu tidak semestinya ia mesti berlaku dalam bulan ramadhan.
Jika hal ini berlaku, ia dikatakan sebagai telah mendapat taufik dan hidayat serta inayat. Dan perkara sebegini sebenarnya adalah sangat langka. Jika dikaji, hal ini sebenarnya adalah kes terpinggir, aneh atau ganjil. Sayangnya masyarakat umum pada hari ini biasanya tidak mengetahui dan menyakini bahawa doa mereka sebenarnya memainkan peranan penting untuk mengubah diri seseorang yang biadab dan kasar tegar berubah. Doa berupaya merubah qadaq dan qadar, Insyaallah. Dan doa bukanlah milik pribadi atau seseorang individu tertentu sahaja. Setiap orang boleh berdoa. Cuma orang yang hatinya tebal dengan maksiat atau kejahatan adalah terhijab dengan keyakinan dirinya sendiri.
Hakikat kebaikan dan kebajikan adalah kecintaan Tuhan. Malah Tuhan bersumpah dengan diriNya bahawa Tuhan mewajikan kebajikan ke atas diriNya. Tuhan sangat mengasihi hamba-hambaNya yang melakukan dan mencintai kebajikan. Sehubungan itu untuk beramal kebajikan sebenarnya terbuka kepada sesiapa pada setiap detik. Amalan rahsia dihati tidak dapat dibaca dan dipaksa oleh sesiapa tetapi Tuhan amat mengenali dan dekat terhadap apa yang ada di dalam hati manusia. Malah Tuhan menghargai amal kebajikan dan memberi ganjarannya walau hanya baru terniat di hati.
Jadi, bulan puasa atau di bulan ramadhan sebenarnya wadah waktu terbaik untuk beramal kerana kebajikan, impak atau pahala kepada pelaku kebajikan berganda-ganda. Sehubungan dengan itu, berbahagialah orang yang berilmu dalam beramal kerana mengetahui dan menyakini bilakah amalan diberi gandaan pahala. Namun untuk beramal sebenarnya terbuka tanpa had masa dan tempat dan ini terutamanya dalam bentuk amalan hati. Amalan hati syaratnya adalah keikhlasan dan tawadhuk kepada Illahi.
Akhir sekali, tulisan ini adalah untuk Tun Sheikh sendiri dan anda jua. Harapan semoga kita mengetahui di mana kedudukan kita. Jika kita berasa kita dalam kelompok baik, maka bersyukurlah. Dan jika kita berasa kita sedang berada dalam kelompok jahat, maka beryukurlah. Kerana setidak-tidaknya kita telah mengenali kita siapa dan pada hakikatnya kita semua telah Allah beri petunjuk membeda yang mana baik dan yang mana buruk atau jahat dan kita juga sedang diperhatikan Allah Yang Maha Esa. Maka berusaha dan berikhtiarlah ke jalan kebaikan dan kebajikan yang Allah cintai.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Tuesday, August 10, 2010
Bicara Hati, Perihal Hati Dan Berhati-Hati
Bicara Hati, Perihal Hati & Hati-Hati
Dimensi kali ini akan meceritakan suatu hal mengenai perkara yang sering berulang kepada diri Tun Sheikh sendiri. Tun Sheikh percaya hal ini juga berlaku kepada kita semua, cuma peratus keperihatinannya dan kepekaannya sahaja yang menjadikannya samada hambar atau terfokus.Apabila Tun Sheikh memfokus sesuatu bisikan hati, Tun Sheikh sering teringat pesanan arwah bapa supaya berhati-hati apabila memandang hati kerana ia tidak membohongi. Dan apabila kita yakin dengan bicara hati tetapi tidak ambil peduli terhadapnya kerana kita tidak suka atau sebagainya maka bersedialah untuk menerima musibahnya. Dan musibahnya adalah sepuluh kali ganda dari kebiasaan yang terhasil dari akal fikiran.Dan pada ketika melihat bicara hati janganlah lidah berbicara atau berkata-kata kerana biasanya mulut menjadi begitu masin.
Maksudnya di sini jika sesuatu perkara kita melihat dengan mata hati maka kecepatannya, kelebihannya dan juga musibahnya adalah sepuluh kali ganda daripada sesuatu yang diputuskan oleh akal.Dan apabila kita mendengar dan melihat hati yang berbicara, kita hendaklah diam dan memohon keberkatan dari Allah kerana jika kita berbicara atau berkata-kata dengan lidah dari pandangan mata hati maka apa yang kita luahkan akan benar-benar terjadi. Sebenarnya bicara hati memang tidak pernah bohong. Kita dilatih supaya berdiam kerana untuk mengelak fitnah dunia yang akan memudharatkan kepada diri kita juga.Bicara hati yang ada pada setiap manusia sangat-sangat dicemburui oleh jin dan syaitan. Ini adalah kerana zat kejadian jin dan syaitan adalah cenderung kepada penipuan dan pembohongan. Manakala hati adalah dari zat mendengar, tunduk dan taat.
Perkara sebegini sering berlaku kepada Tun Sheikh seolah-olah ada dua sumber fikiran. Satu datangnya dari akal dari bahagian kepala dan satu lagi dari hati di dada. Dan tentunya ada satu lagi yang palsu tetapi terbayang begitu tulen iaitu dari bisikan di telinga. Jangan sekali-kali mengikut bisikan di telinga kerana ia adalah bisikan jin dan syaitan tetapi tidak apa salahnya jika kita menuruti hal-hal yang tidak bercanggah dengan syariat. Cuma kita kena berhati-hati kerana pada lazimnya bisikan di telinga meskipun baik dan ternyata tidak menyalahi syariat tetapi sering ada hidden agenda yang negatif juga kepada kita di akhirnya kerana syaitan dan jin itu adalah suatu makhluk yang profesional dalam hal menggoda dan menipu.
Peribahasa dan simpulan bahasa yang dapat menjelaskan hal ini adalah seperti 'tak mau tapi dah jodoh & benci tapi rindu atau dunia ini kecil manakala di akhirat kita akan bersua dengan orang yang kita kenali'. Walaupun kurang tepat tetapi perumpamaan ini bolehlah diguna pakai untuk memberi maksud yang begitu mendalam.
Teman-teman Tun Sheikh sering menegur kerana kadang-kala mereka menganggap Tun Sheikh hanya merapu atau melalut. Kadang-kadang dari mereka yang dekat menganggap Tun Sheikh bersangka buruk. Rupa-rupanya di sinilah rahsianya pesanan bapa supaya diam apabila terlihat bicara hati. Apabila ketepatannya seolah-olah tidak diterima sendiri dan oleh telinga teman dan kawan-kawan yang mendengarnya maka berbagai tanggapan akan terkeluar dari fikiran mereka. Jika mereka terlihat dan mendapati ketepatan pandangan hati Tun Sheikh, maka panjanglah cerita dan berjela-jela pujian. Ini sangat tidak bagus untuk perjalanan dan kehidupan hati.
Tun Sheikh juga sudah mendapat khidmat nasihat dari pakar agama yang mengatakan bahawa hal sebegini memang ada dan nyata kepada setiap diri manusia. Tetapi biasanya bisikan hati ini tidak diambil peduli oleh mereka lebih-lebih lagi jika akal dan pendengaran di telinga telah menguasai diri atau lebih berpengaruh dari hati itu sendiri. Dan memang terdapat suatu disiplin agar diam dan berahsia sahaja jika sudah biasa melihat atau mendengar bicara hati.
Ada juga pepatah Melayu yang mengatakan jika suka ikut nafsu nanti badan akan lesu dan jika suka ikut hati nanti mati. Petua sebegini jika mengikut disiplin agama ia adalah tidak tepat tetapi jika mengikut adat atau pengalaman hidup tanpa memikirkan perincian falsafahnya maka ia kelihatan begitu tepat. Sebenarnya jika perbidalan ini dihurai mengikut falsafah agama, ia juga adalah tepat dimana sesuatu tindakan yang suka mengikut keputusan akal yang terpengaruh dengah nafsu maka adalah sia-sia dan akhirnya membuat badan jadi letih sahaja kerana membuang tenaga membuat pekerjaan yang tiada berpenghujung sebab nafsu itu tiada batasannya. Manakala jika mengikut hati tanpa mengetahui perbezaan antara hati, nafsu, telinnga dan akal yang telah dikuasai nafsu juga akan mengakibatkan jiwa atau nyawa kita sendiri akhirnya melayang atau maut.Ini adalah disebabkan makhluk yang memainkan peranan besar mendampingi nafsu dan telinga adalah musuh nyata kepada manusia iaitu syaitan yang bercita-cita dan mengehendaki kita bersama mereka di neraka.
Jadi...seharusnya bagaimana?? Jalan keluarnya ialah hendaklah kita mempelajari apa itu hati, nafsu dan akal. Begitu juga kita wajib mengenali siapa itu jin dan siapa itu syaitan. Dan cara yang mudah untuk mengetahui semuanya ialah dengan merujuk dan membaca buku yang menceritakan perihal tersebut. Buku ini juga berupaya membezakan antara pengertian manusia, tanggungjawab dan peranannya. Dan begitu juga kepada peranan jin dan syaitan. Buku yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah kitab suci al Quran yang juga terkenal sebagai kitab mengandungi petunjuk dan kitab yang membanding dan membedakan apa-apa yang hak dengan yang batil. Kitab ini sengaja dihadiah dan diturunkan untuk menusia menggunakannya sebagai panduan dan rujukan sahih dan untuk selamat hidup di dunia dan akhirat.
Sehubungan dengan itu sukalah Tun Sheikh mengajak anda sekalian, marilah sama-sama kita mentelaahnya supaya dapatlah kita mengenal hati dan dapat sentiasa berhati-hati dengan musuh kita yang nyata.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sunday, July 18, 2010
PETUA JIKA TAKUT HANTU, JIN DAN SYAITAN
Pada 1 Julai lepas, Tun Sheikh menerima panggilan telefon dari seorang sahabat lama yang pernah seguru mempelajari kitab Hikam 18 tahun dahulu. Beliau meminta tolong Tun Sheikh menjengok pegawai bawahannya kerana diganggu perbuatan khianat secara bathin dan beliau tidak dapat pergi kerana sedang bergegas untuk menghadiri mesyuarat penting di kementerian.
Ketika Tun Sheikh sampai di pejabat yang dimaksudkan iaitu terletak di Kompleks Jabatan Perdana Menteri lama, keadaan begitu sepi dan hanya seorang sahaja yang Tun Sheikh temui telah tolong menunjukkan bilik anak buah kawan Tun Sheikh itu. Beliau ialah seorang pegawai kanan, wanita berusia diawal 40-an sedang terisak menangis ketakutan dengan wajah yang pucat lesi seorang diri di suatu sudut di luar bilik pejabatnya yang kelihatan agak suram kerana terdapat beberapa lampu yang tidak menyala kerana rosak.
Apabila ditanya apa masalahnya, beliau menunjukkan keadaan biliknya yang berselerak dan penuh ditaburi dengan lada hitam. Beliau sangat terkejut dan mengesyaki ada orang dengki dan hendak menganiaya dirinya. Beliau berasa dirinya seram sejuk dan berdebar-debar serta lemah untuk berdiri dan berjalan.
Impresi pertama dibenak Tun Sheikh terhadap jabatan yang terkenal ini adalah positif dan juga negatif. Positif ialah dapat merasakan popularitinya adalah hasil kerja pegawai dan kakitangannya yang bekerja dengan baik dan cemerlang. Negatifnya pula ialah bila mana tiada kawan atau staf terdekat datang menghulur tangan atau mengambil tahu masalah dirinya. Hal sebegini adalah lumrah di jabatan atau di sesebuah agensi yang terkenal cemerlang kerana budaya kerja dan keseriusan pegawai atasan. Adalah lumrah suasana seperti ini adalah akibat dari kesadaran warganya untuk bekerja keras sehingga terpaksa bersaing untuk menunjukkan prestasi tinggi masing-masing. Tanpa sadar, nilai kemanusian terabai sebagaimana dihadapi oleh pegawai yang ketakutan ini.Masing-masing berasa sibuk dengan tugasan sendiri dan tiada masa untuk menghulur tangan.
Pada pandangan Tun Sheikh, keadaan dirinya yang lemah adalah akibat daripada terkejut apabila mendapati taburan lada hitam di sepanjang laluan dan di dalam biliknya. Sangkaan ada orang coba menganiaaya dirinya telah menambah buruk keadaan. Tun Sheikh segera menyuruh beliau bertenang dan menghilangkan sangkaan negatif atau perasangka buruk dengan menyuruh memikirkan perkara yang baik iaitu apa yang terjadi itu bukanlah untuk menganiaya dirinya tetapi ada seseorang yang berusaha memulihkan tempat yang dianggap keras itu secara perubatan tradisional dan berahsia.
Setelah Tun Sheikh menyuruh beliau supaya jangan takut dan membersihkan biliknya seperti biasa dan setelah melihat beliau berasa yakin dan semangatnya pulih kembali, Tun Sheikh bersama seorang teman yang sengaja dibawa pun meminta diri. Tun Sheikh meninggalkan pesan dan nasihat kepada beliau supaya selalu berwuduk, membaca fatiha, 4 Qul dan ayatul Qursi bagi mengelak gangguan jin, hantu atau syaitan.
Semasa berjalan keluar dari biliknya, Tun Sheikh tergerak seperti ada tarikan mengikuti lorong yang agak suram. Tun Sheikh telah menggunakan teman Tun Sheikh seorang yang penakut kerana aura sipenakut adalah lebih sensitif daripada seorang yang bersemangat kuat dan pemberani bagi mengesan kehadiran mahluk halus. Di penghujung lorong itu telah membawa kami ke tandas dan tiada apa-apa petanda dan petunjuk yang dapat Tun Sheikh rasai samada melalui diri sendiri mahupun dari teman penakut tadi.
Kami berpatah balik dan menghala lorong ke sebuah surau dan apabila masuk ke surau itu tiba-tiba bulu roma kami tercacak berdiri dan teman Tun Sheikh bertindak spontan seperti mahu melarikan diri tetapi terhalang oleh diri Tun Sheikh kerana telah menjangka apa yang akan dilakukan oleh seorang yang penakut atau dalam ketakutan. Apabila biji-biji bulu roma kami telah hilang dan normal kembali, Tun Sheikh menerangkan kepada teman Tun Sheikh bahawa itu adalah salah satu terapi untuk dirinya yang meminta tolong Tun Sheikh untuk memberi petua atau amalan kepadanya yang sering takut dan lemah semangat. Begitu juga dengan cara Tun Sheikh memberi nasihat dan memberi pandangan kepada pegawai wanita yang terkejut tadi sehingga beliau berkeyakinan dan bersemangat kembali adalah juga sebagai pelajaran atau petua yang sesuai untuk teman Tun Sheikh tadi.
Setelah itu kami pun pulang dan sahabat berusia 25 tahun yang menemani Tun Sheikh telah kembali ke pejabat meneruskan kerja dan membuat kerja lebih masa sampai ke malam. Esoknya beliau telah memberitahu Tun Sheikh bahawa beliau terpandang mahkluk hitam bermata merah malam tadi di pejabat dan segera balik dan tidurnya juga tidak lena seperti malam-malam biasa. Tun Sheikh tersenyum sambil memberi tahu sebenarnya beliau tidak menjalankan arahan Tun Sheikh supaya membakar 7 biji lada hitam tadi. Maka jin kafir yang ketakutan itu telah mengikutinya sehingga berjaya melupakan untuk melakukannya.
Tun Sheikh menjelaskan bahawa di pejabat yang kami lawati itu ada jin Islam. Jin Islam adakalanya tidak suka kepada seseorang yang ada saka dari kalangan jin kafir. Laluan jin Islam ditaburi dengan lada hitam oleh orang yang mempunyai saka itu bukanlah bermaksud untuk menganiaya pegawai wanita itu tetapi untuk mengancam jin Islam di situ supaya jangan mengganggu dirinya yang didampingi saka jin kafir. Sebenarnya banyak jenis jin tidak suka dengan lada hitam tapi bukan semua. Apa yang dilihat oleh sahabat Tun Sheikh itu adalah jin kafir yang berusaha melupakannya supaya jangan membakar lada hitam yang Tun Sheikh suruh itu. Jika lada itu dibakar maka dia tidak lagi boleh mengikut tuan sakanya ketika berada di bangunan pejabat itu.
Akhir sekali jika anda adalah seorang yang penakut dan lemah semangat, kontrollah perasaan takut itu hingga sampai kemuncak takut iaitu menggigil dan berpeluh dan kadang-kadang sehingga terkencing. Jangan pejam mata dan bernekadlah menunggu untuk hadapi apa saja sambil berzikir sehingga peluh atau gigil berhenti dan insyaallah selepas itu anda bukan seorang penakut lagi.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Thursday, May 13, 2010
IKON BUGIS MENGAMOK
IKON BUGIS MENGAMOK
WARISAN JIN DAN MANUSIA
Ikon istimewa Bugis kedua ialah sumpah dagang dan memerintah. Selepas kota empayarnya yang terbesar Goa dan Makasar dibakar dan dimusnahkan oleh Belanda 1667, raja Bugis menitahkan semua rakyatnya yang selamat agar bersumpah untuk bersatu padu membalas dendam,menguasai perdagangan dan mempengaruhi pemerintah tempatan memusuhi Belanda atau menguasai pemerintahan mereka. Sumpah anak raja Bugis
Budaya sumpah nenek moyang dan pembawaan paduan genetik antara manusia dan jin ini telah melahirkan satu sifat dan sikap yang unik yang menjadi ikon ketiga Melayu Bugis dan tidak banyak terdapat pada bangsa lain iaitu mengamok. Dalam kajian biologi-fizik, para saintis mendapati sikap panas baran adalah sifat manusia sejagat tetapi sifat mengamok yang menjadi ikon kepada manusia berdarah atau berketurunan Bugis ini menjadi begitu unik kerana mereka tidak dapat mengawal diri atau tidak dalam keadaan sadar. Tingkah laku ketika sedang mengamok ini bertambah rumit dikaji apabila mereka berupaya melakukan perkara-perkara di luar batasan akal manusia seperti boleh melompat dengan begitu tinggi, berlari pantas, kebal, tidak terbakar dimakan api dan lain-lain perbuatan yang tidak logik.
Dalam kajian agama, mereka sebenarnya sedang dirasuk atau diserapi jin dan keistimewaan ini terdapat pada mereka kerana mereka mempunyai warisan atau genetik berkaitan. Hal ini boleh juga berlaku kepada orang lain seperti dalam ilmu persilatan, perbomohan atau rawatan tradisional oleh pengamal-pengamal yang berdamping dengan bangsa jin tidak kira dari bangsa apa keturunan mereka. Ikhtiar apabila berhadapan dengan mereka yang sedang dirasuk ini adalah dengan tauhid dan iman yang mantap beserta tawakal yang bulat kepada Allah swt
Apabila seseorang berketurunan Bugis itu tidak banyak berkahwin campur dengan suku Melayu atau bangsa lain maka tenaga dalaman atau kuasa supernaturalnya kekal kuat dan begitulah sebaliknya. Apa yang pasti ialah warisan sifat panas baran keturunan Bugis jika kurang bekalan dengan pengetahuan agama Islam ini sering menjadi penyebab masalah dalam rumah tangga dan masyarakat. Apa yang amat merugikan ialah sikap yang melahirkan pelbagai masalah ini tidak dapat dimanfaatkan pada ketika dan tempat yang dikehendaki. Maksudnya kerap kali orang Bugis mempunyai keistimewaan dapat berinteraksi dengan dunia gaib atau dunia jin tetapi tidak dapat dimanfaatkan secara ilmiah dan sains kerana ia tidak dapat dikawal kecuali hanya dalam bentuk misteri.
Diantara sikap dan sifat samada positif atau negatif yang sinonim kerana mempuyai ciri-ciri ikon Bugis kepada kaum lelakinya ialah kacak, berbadan tegap, tinggi ketinggian tubuh, berani, licik atau kurang jujur, mistik, panas baran, berlagak atau ego, berwawasan, berkulit cerah, bermata tajam dan bergaya. Manakala kaum perempuannya juga lebih kurang sama iaitu cantik, berbadan tinggi kewanitaan, licik atau kurang jujur, mistik dan materialistic, panas baran, ego tinggi, bermata tajam, berkulit cerah dan halus tetapi lenggok dan bahasa agak kasar. Sifat dan sikap ini hanyalah secara menyeluruh dan kebanyakannya begitu tetapi tidak bererti semua. Dalam perkataan lain, sudah tentu ada yang terbaik dan juga terburuk
Orang Bugis kuat merajuk tetapi dalam rajukan tidak bererti mereka menerima dan beralah atau berkompromi Mereka sangat pendendam tetapi dendam mereka adalah baik kerana mereka berdendam untuk menunjukkan atau mengatasi dengan lebih baik bukan berdendam dengan niat buruk untuk menzalimi dan membunuh. Soal nyawa orang Bugis lebih bersikap depensif tetapi jika dicabar nyawa dan menghina maruah mereka cepat mengamok, hilang akal dan kerasukan.
Tun Sheikh menulis ini dengan pelbagai kekurangan. Matlamat utama ialah untuk mengongsi maklumat bahawa tauhid dan iman yang mantap adalah anugerah Allah yang paling istimewa. Disamping itu, Tun Sheikh menulis dengan memandang diri dan keluarga kerana Tun Sheikh sendiri ada mewarisi sedikit darah keturunan Bugis ini. Marilah sama-sama kita menambah pengetahuan melalui ajaran agama secara langsung mahupun secara rujuk pintas dan perbandingan agar kita dapat bersedia dan manfaatkan sesuatu kerana banyak raja-raja kita berdarah Bugis dan yang paling dekat ialah YAB PM kita. Maksudnya…marilah kita mendokong dan menyokong mereka dengan agama sebelum mereka terpengaruh dengan bisikan MENGAMOK!
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Wednesday, April 21, 2010
JANGAN PERCAYA TEORI RAHMAN
Disebabkan banyak sms dan e-mel yang Tun Sheikh terima berkenaan dengan Teori RAHMAN, sukalah dinasihatkan di sini agar jangan sekali-kai meyakininya. Ini telah diperjelaslah bahawa keadaan spekulasi dan jangkaan itu sendiri telah membuktikan bahawa Teori RAHMAN hanyalah mainan politik saja. Tidak satu pun yang tepat. Contohnya pernah satu ketika mereka percaya Encik Ghafar Baba dan Anuar Ibrahim akan menjadi PM. Malah nama Abdullah dan Najib tidak pernah disebut bakal menjadi PM ketika teori ini diuar-uarkan.
Nilainya sebagai hiburan dan kita terimalah sebagai hiburan. Meskipun nama tokoh-tokoh besar dijadikan watak utama tetapi hendaklah kita anggap ini semua hanyalah picisan saja. Sebesar mana pun tokoh seperti YM Tunku, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan lain-lain dipergunakan tetapi mereka sebenarnya tidak terlibat kecuali dipakai saja nama mereka kerana mereka adalah public figure untuk penyedap cerita oleh mereka yang suka berhibur. Tambah pula ini adalah perkara nujum dan menjadi larangan keras dalam agama.
Ada yang bertanya siapa dan apa selepas RAHMAN kerana ketika ini telah dianggap sempurna. Jika mengikut dongeng ketua sami Hindu yang pertama dulu mengatakan bahawa apabila lengkap RAHMAN maka melimpah ruahlah rahmat Tuhan yang bersifat Rahman kepada Malaysia. Malaysia akan berada dalam kehermonian dan kemakmuran. Rakyatnya akan hidup aman damai dan bahagia dalam kenikmatan dan kekayaan. Tidak terdengar pula siapa pemimpin selepas itu kerana ini memberi gambaran selepas Najib barulah makmur. Memang kelakar tapi biarlah kerana ia memang sesuai sebagai hiburan atau penglipur lara saja.
Setelah tamat sepenggal atau beberapa penggal PM pertama selepas Najib akan naik pula pemimpin yang tidak dijelaskan dari barisan mana akan memerintah menggantikan PM selepas Najib. Pada ketika ini lah dijangka porak peranda berlaku dan hidup melarat dan kucar-kacir kerana berlaku keganasan dan pertumpahan darah. Yang sedihnya bukanlah diantara berlainan kaum tetapi diantara Melayu Islam sesama Melayu Islam. Mungkin boleh saja sebagai contohnya Melayu UMNO dengan Melayu PKR atau Melayu PAS atau Melayu NGO atau mungkin akan wujud Melayu lain tetapi mereka beragama sama iaitu Islam. Punca pergaduhan adalah perebutan kuasa untuk memerintah. Akhirnya manusia Melayulah akan rugi manakala bukan Melayu hidup harmoni seperti biasa kerana mereka bersikap berkecuali.
Memang kelakar permainan nujum sebagai hiburan ini tetapi berjaya mengusik hati kita. Lantas inginlah Tun Sheikh menasihati diri sendiri dan kepada kita semua yang mengaku Islam adalah lebih baik kita bersatu hati memperjuang dan memerintah dengan hak agama sebelum nafsu jahat ini mengusai diri. Yang mengerikan ialah analisis dari pakar sosiologi dan psikologi kebudayaan dan bangsa yang membuat kesimpulan bahawa hal sebegitu tidak mustahil akan berlaku di negara kita yang terdiri dari pelbagai bangsa jika bibit kesombongan dan kezaliman dan penganiayaan pemerintah kepada rakyat ketika ini tidak diberhentikan segera.
Bila ditanya apakah maksud kezaliman dan penganiayaan terhadap rakyat ketika ini. Mereka dengan tegas mengatakan sebagaimana dibentang dan diperjelaskan oleh golongan ulamak iaitu kerakusan kepada harta benda dan kewangan, rasuah kuasa dan harta benda, politik wang yang akan melahirkan pemimpin mata duitan dan pemimpin yang memerintah dengan hawa nafsu keduniaan. Memang belum lagi wujud dengan terang-terangan ketika ini tetapi benih-benih sedang aktif disemai ketika ini dan sejak dulu lagi oleh pemimpin Melayu yang tiada jati diri bangsa kecuali hanya kepentingan dirinya secara tersembunyi.
Teringat pesanan seorang ulamak yang telah kembali ke rahmatullah dulu yang pernah berfirasat memesan Tun Sheikh dan meminta berusahalah sampai-sampaikan pesanan beliau ini kepada mereka yang peka dan beringat. Beliau berpesan mulai dari sekarang didiklah diri, didiklah anak dan keluarga terdekat supaya mengamal dan menghafal surah Yassin. Insyaallah jika berlaku dengan takdir Allah hal sebegini, anak cucu kita yang sedang berada dalam kecemasan atau keperitan hidup dalam suasan ketegangan dan ketakutan akan berasa tenang dan terpelihara dari dahaga dan kelaparan. Pesan kepada mereka semuanya bahawa ketika Tuhan mendatangkan azab dan cobaan atau dugaan, semua akan menghadapinya termasuk orang yang beriman. Akan tetapi kadarnya tidak sama sebagaimana orang yang berdosa, orang yang awam yang biasa, orang baik yang berbudi dengan orang yang beriman yang dijamin ketenangannya oleh Allah.
Ya Allah… jadikanlah kami orang beriman dan selamatkanlah kami dari fitnah dunia ini… Amin.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Saturday, April 3, 2010
TIGA TAHAP IMAN UTK DIRENUNGKAN
Samin terasa dirinya sering diganggu ketika sedang bertugas. Namanya sering dipanggil dari suatu sudut yang tidak beliau pasti di tempat kerjanya di sebuah muzium. Kadang-kadan rakan sejawatnya juga mendengarnya. Dia telah berusaha menemui beberapa orang bomoh tetapi dia masih terus diganggu hingga pada suatu hari seorang ustaz mensarankan dia meminta nasihat atau pandangan Tun Sheikh. Dia seolah terkejut kerana selama ini dia memang mengenali Tun Sheikh tetapi tidak pernah mengetahui Tun Sheikh pernah terlibat dalam bidang itu. Tun Sheikh memang mengakui bahawa Tun Sheikh bukan seorang bomoh atau dukun. Kini telah 12 tahun berlalu dan difahamkan gangguan kedengaran suara itu telah berulang semula sejak 5 tahun yang lalu. Apabila ditanya, Samin mengaku dia tidak lagi mengamalkan apa yang Tun Sheikh sarankan iaitu sentiasa berwudhuk dan membaca fathiha dan 4 Qul setiap kali ketika keluar rumah mahu ke tempat kerja.
Apabila dia mula melakukan semula, dia dapati sudah tidak berkesan lagi. Dia mengaku sebenarnya dia tidak yakin pada Tun Sheikh sahabat yang sudah lama dikenalinya. Pada mulanya gangguan itu hilang tetapi bila memikirkan diri Tun Sheikh, dia menjadi malas dan mula hilang keyakinan. Dia baru-baru ini bertanya mengapa jadi begitu. Tun Sheikh hanya menasihatkannya supaya dia mencari guru dan latih elakkan diri dari taklid dan taksub kepada guru atau sesuatu pelajaran termasuk kepada amalan-amalan yang dilakukan. Taklid ialah rasa yakin berdasarkan penyampainya atau yakin kepada sesuatu ayat yang diamalkan tanpa mengetahui dan berasa yakin terhadap sumber atau pertaliannya dengan Allah.
Bahri pula sejak dari mula berkhidmat, telah terdedah dengan pelajaran agama hingga memiliki segulung ijazah dan menjawat jawatan pegawai pencegah maksiat. Pada suatu hari ketika sedang menjalankan tugasnya beliau telah dicabar oleh pasangan yang ditangkapnya. Pengalaman anihnya ialah beliau tiba-tiba saja merasa seram sejuk dan terkaku lidah. Pasangan yang melakukan maksiat itu ketawakannya dan terus pergi melepaskan diri. Setelah mereka hilang dari pandangan Bahri, beliau baru tersedar dan boleh berkemunikasi.
Apabila seorang teman lain suruh dia jumpa Tun Sheikh dia tersenyum dan mengatakan bahawa setahu dia Tun Sheikh hanya memilik Diploma Pengajian Islam sahaja manakala perasaannya berasa tidak pantas berbuat demikian kerana dia sendiri memiliki segulung ijazah dalam bidang agama Islam dari universiti terkenal di Kuala Lumpur. Dia pun tahu dan dapat mengagak paling-paling Tun Sheikh akan suruh mengamal surah Fathiha, 4 Qul dan ayatul Qursi yang biasa disuruh oleh para ustaz.
Cerita Salleh pula amat berlainan. Dia juga tidak mengetahui sangat tentang diri Tun Sheikh. Dia kenal Tun Sheikh sebagai kawan dan sebagai bekas pegawainya. Apabila dia bertemu, dia saja-saja meluahkan masalahnya. Dia kelihatan seperti mati akal atau hilang punca kerana telah berbagai usaha dilakukannya tetapi gagal memulihkan anak perempuan dan isterinya yang sering kerasukan apabila susah hati atau berhadapan tekanan. Dia tanya pada Tun Sheikh jika boleh tolong dan usahakan. Tun Sheikh hanya tanya dia bahawa syaitan dan manusia siapakah yang sempurna dan hebat. Dia jawab manusia dan yakin manusia. Kenapa pula macam itu. Dia kata Allah sudah tetapkan macam itu. Jadi Tun Sheikh suruhlah dia baca Fahiha, 4 Qul dan ayatul Qursi dan sembuhkan nafas ke air dan beri anak dan isteri minum, sapu di muka dan di dada dan boleh juga dibuat wudhuk dan sebagai air mandi. Dia pun melakukannya. Bila ditanya, dia yakinkah, dia kata saya ni tak sekolah tinggi tapi saya yakin Allah Maha Berkuasa.
Sudah lima bulan sekarang dan apabila bertemu Tun Sheikh dia tersenyum-senyum ceria. Tun Sheikh tanya mengapa......, dia jawab dia sudah jadi macam bomoh pulak, tolong buatkan air atau baca amalan yang Tun Sheikh suruh dulu kepada keluarga-keluarga terdekat. Anak dan isteri tidak merasuk lagi. Wah! hebatnya kamu.. dia kata, maaf Tun Sheikh...bukan saya atau ayat-ayattu yang hebat tetapi Allah Yang Maha Berkuasa.
Alhamdullillahirabillalamin.
Oleh Tun Sheikh