Sunday, June 21, 2015

Petunjuk sesuatu Negara bangsa ke arah kemusnahan



Petunjuk sesuatu Negara bangsa ke arah kemusnahan


Petunjuk agama ada memberi peringatan dan amaran yang bermaksud bahawa apabila Allah mengkehendaki sesuatu tamadun itu dimusnahkan atau dilupuskan kerana amalan perbuatan sombong dan kefasikan serta maksiat telah berleluasa dalam negeri berkaitan maka Allah akan ilhamkan perbuatan zalim itu kepada pemimpin. Pemimpin akan dilihat menerima atau menyukai budaya berkenaan sehingga pemimpin juga melakukan perbuatan yang zalim dengan kuasa yang ada padanya.

Selain itu,  Allah juga mengingatkan bahawa sesuatu tamadun itu akan dimusnahkan apabila pemimpin tidak lagi amanah dan orang yang diberi kuasa dalam sesuatu bidang adalah orang yang bukan ahlinya. Bukan ahli bermaksud adalah orang yang disenangi oleh penyokong dan yang melantik beliau, mengetahui beliau tidak pakar dalam bidang berkaitan. Walaupun dengan sadar mereka mengetahui beliau tidak berpengetahuan dan bukan pakar dalam bidang berkaitan tetapi dilantik mengetuai atau menerajuinya berdasarkan kesukaan atau kroni. Jika hal tersebut berlaku maka Allah memberi peringatan kepada masyarakat atau rakyat berkenaan supaya bersedialah menghadapi kesengsaraan dan kemusnahan akibat dari tangan pemimpin yang bukan ahli kepada bidang yang dipimpinnya.

Sebelum bencana besar didatangkan sebagai punca atau penyebab kemusnahan fizikal,  Allah juga memberi petunjuk tanda-tanda kecil dengan memperlihatkan kesuburan dan perkembangan budaya negative yang diamalkan oleh masyarakat itu bertambah pengamal dan penerimaannya. Tanda-tanda kecil ini  jelas kelihatan berkembang bertambah besar dan akhirnya perkara yang negative dan buruk diterima majority masyarakat dan menjadi kebanggaan pula. Perkara-perkara yang dimaksudkan negative itu termasuklah perbuatan dan amalan yang bercanggah dengan syariat dan hukum agama sehingga amat jelas rakyat dan pemimpin seolah-olah tidak mendapati bahawa perlakuan yang buruk dan fasik itu sebagai sesuatu yang hina atau merbahaya pada nilai sejagat.

Apabila masyakat atau rakyat sesebuah negeri itu telah menerima dan berasa apa yang buruk itu sebagai adat dan budaya yang baik sehingga berusaha bersungguh-sungguh mengimarakkannya atau setidak-tidaknya tidak melarang keburukan dan kejahatan yang telah menjadi budaya hidup dan akhirnya melakukan atau mengamalkannya dengan rasa kebanggaan dan kesombongan maka ketika itu akan didatangkan oleh Allah sesuatu bencana besar yang penuh dengan penderitaan sebelum berlaku kemusnahan total kepada masyarakat bangsa berkenaan.

Tuhan ada juga memberi amaran bahawa perkara ini akan berlaku apabila golongan pertama iaitu ulamak menjadi bisu yang bermaksud golongan ilmuan seperti ulamak dan pakar-pakar yang ahli dalam sesuatu bidang keilmuan itu tidak memberi petunjuk mahupun penjelasan yang tepat sebagaimana diamanahkan kepada mereka. Ini termasuklah ahli agama atau ulamak dalam agama dan juga pakar-pakar dalam sesuatu bidang. Jika terdapat golongan yang memperingatkan dan menasihatkan tetapi suara mereka tidak berpengaruh lagi. Suara yang berpengaruh dan dituruti adalah suara-suara dan pandangan  pengamal kefasikan atau keburukan.

Sesebuah negara atau tamadun itu juga akan hancur apabila hiburan sangat diutamakan. Rakyat akan leka dengan kesoronokan berhibur dan hiburan menjadi agenda utama dalam setiap majlis dan acara. Pengamal seni hiburan dijulang dan dijadikan model tarikan masyarakat. Akhirnya simpton bersenang-senangan atau menolak sesuatu pekerjaan yang dianggap berat berlaku dan membudaya. Jiwa sebenar menjadi kerdil dan lemah kerana hiburan akan menghilangan semangat juang dan jati diri yang terpuji. Anak muda berjiwa lemah. Tentera juga tidak berjiwa waja. Akhirnya dengan mudah maruah dan kedaulatan negara ditawan atau dipengaruhi. Tiada rekod sejarah mencatat sesebuah negara yang ditawan atau dipengaruhi adalah lebih tinggi maruah, mulia mahupun berkuasa lebih daripada negara yang menjajah.

Semua petunjuk dan tanda-tanda di atas telah nyata kelihatan dalam budaya kehidupan kita pada hari ini. Hanya tunggu masa sahaja untuk keruntuhan dan kekocarkaciran dan akhirnya rakyat terpaksa hidup dalam kesulitan dan kesangsaraan. Hal ini hanya boleh dinafikan atau dielakkan jika pemimpin pada hari ini segera balik ke pangkal jalan. Rakyat kena bangun menolak mahupun memecat pemimpin yang tidak amanah dan pemimpin yang menyeleweng dan salah menggunakan kuasa. Jika tidak,  takdir ketetapan Tuhan akan lebih cepat dirasakan keazaban bagi mereka yang lalai.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Hari Buruh/Pekerja 1.5.2015
Seri Negeri Melaka
 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere