Tuesday, April 26, 2016

Orang Kampung Sudah Tahu Tapi Masih Kabur



Orang Kampung Sudah Tahu Tapi Masih Kabur

Bila ditanya orang kampong sama ada mereka tahu atau tidak khazanah sedang dicuri oleh pemimpin negara,  mereka macam terlopong mulut. Bila ditanya adakah patut seorang pemimpin yang diamanahkan mengurus kekayaan negara mencuri, mereka menggeleng kepala. Tapi bila ditanya siapakah mereka akan pilih menjadi pemimpin mereka, mereka tidak berubah memilih tokoh yang sama meskipun mengetahui bahwa tokoh berkenaan telah menyeleweng.

Soalan diteruskan mengapa mereka masih memilih atau cenderung menjadikan tokoh berkenaan sebagai ketua dalam politik? Mereka menjawab itu semua macam tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka seharian. Jadi apa yang ada dalam fikiran mereka? Mereka mengatakan bahawa, asalkan hidup mereka seperti biasa tiada gangguan dan diberi sedikit kemudahan seperti buatkan lorong atau jalan,  bekalan air dan elektrik bersepadu atau dengan hanya menghormati budaya hidup mereka, sedikit buah tangan dan hadiah sudah memadai dan mengembirakan. Selain daripada itu tidak diharapkan sangat kerana mereka seperti biasa, tidak mencari popularity dan kekayaan. Hidup sederhana amat membahagiakan. Ini adalah kesimpulan dapatan dari satu penyelidikan rambang di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Dapatan dibawah pula adalah kesimpulan dari penyelidikan rambang yang dibuat oleh kumpulan banci parti politik dari barisan pembangkang terhadap penduduk luar bandar dan kampong di Semenanjung. Siapakah yang akan mereka pilih selaku tokoh atau ketua mereka dalam politik atau untuk memerintah negara? Mereka jawab sesiapa yang ada kaitan dengan kerajaan sediaada. Kenapa mereka mengatakan begitu? Mereka menjawab bahwa kerajaan sekarang sudah menampakkan hasil kemajuan dan perubahan kehidupan berbanding pembangkang yang belum pernah.

Bila ditanya bukankan mereka telah mendengar keharmonian hidup yang lebih baik di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang seperti Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Mereka menjawab itu adalah keadaan negeri itu tetapi kami dikuasai atau dipengaruhi secara menyeluruh oleh kerajaan sejak dulu lagi. Adakah mereka mengharap penghidupan ini akan lebih baik lagi? Mereka menjawab bahwa mereka yang bekerja dan berusaha dan hidup seharian berjalan seperti biasa. Mereka tidak nampak manfaat atau faedah yang besar jika tidak menyokong kerajaan sedia ada.

Kesimpulannya mereka masih terpengaruh untuk mengekalkan kerajaan kerana karenah mahupun penyelewengan pemimpin politik tidak begitu dirasai oleh mereka yang tinggal di luar bandar, desa  atau kampung-kampung.

Penyelidikan telah diteruskan dengan melakukan analisa fakta-fakta dari maklumat banci mendapati 80% makluman dan penjelasan terhadap keburukan salahlaku dan penyelewengan yang telah membudaya dalam parti pemerintah dan ini diberi pencerahan kepada penduduk desa, luar bandar atau kampong-kampung di Semenanjung adalah didapati dan difahami oleh mereka daripada anak-anak muda mereka yang berkesempatan melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti diploma dan ijazah tidak kira di Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Institut Pengajian Tinggi Swasta.

Di sini, secara tidak langsung membuktikan bahawa sistem demokrasi memberi hak pilihan setiap individu  mengundi sebenarnya tidak berimbangan. Orang ramai masih terdedah dengan pengaruh dan penipuan ketika kuasa undi diberi kepada mereka. Mereka mudah digula-gulakan. Lebih-lebih lagi di negara ini kuasa mengundi orang kampong masih berada dalam kedudukan 65%. Pencerahan mengenai penyelewengan dan sebagainya sampai kepada mereka melalui taraf pendidikan anak-anak muda mereka. Oleh itu maklumat sebegini seharusnya dikaji lagi untuk menghasilkan pelan tindakan menambahbaik budaya mentabir kuasa yang diamanahkan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan. Yang terpenting ialah tokoh yang diberi amanah menjalankan kuasa kerajaan adalah terdiri daripada individu yang jujur, amanah dan sentiasa berusaha, bekerja dan memikirkan standard tertinggi dan terbaik untuk rakyat dan negara yang memberi kuasa kepada mereka.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Benut Pontian 3.3.2016

Sunday, June 21, 2015

Petunjuk sesuatu Negara bangsa ke arah kemusnahan



Petunjuk sesuatu Negara bangsa ke arah kemusnahan


Petunjuk agama ada memberi peringatan dan amaran yang bermaksud bahawa apabila Allah mengkehendaki sesuatu tamadun itu dimusnahkan atau dilupuskan kerana amalan perbuatan sombong dan kefasikan serta maksiat telah berleluasa dalam negeri berkaitan maka Allah akan ilhamkan perbuatan zalim itu kepada pemimpin. Pemimpin akan dilihat menerima atau menyukai budaya berkenaan sehingga pemimpin juga melakukan perbuatan yang zalim dengan kuasa yang ada padanya.

Selain itu,  Allah juga mengingatkan bahawa sesuatu tamadun itu akan dimusnahkan apabila pemimpin tidak lagi amanah dan orang yang diberi kuasa dalam sesuatu bidang adalah orang yang bukan ahlinya. Bukan ahli bermaksud adalah orang yang disenangi oleh penyokong dan yang melantik beliau, mengetahui beliau tidak pakar dalam bidang berkaitan. Walaupun dengan sadar mereka mengetahui beliau tidak berpengetahuan dan bukan pakar dalam bidang berkaitan tetapi dilantik mengetuai atau menerajuinya berdasarkan kesukaan atau kroni. Jika hal tersebut berlaku maka Allah memberi peringatan kepada masyarakat atau rakyat berkenaan supaya bersedialah menghadapi kesengsaraan dan kemusnahan akibat dari tangan pemimpin yang bukan ahli kepada bidang yang dipimpinnya.

Sebelum bencana besar didatangkan sebagai punca atau penyebab kemusnahan fizikal,  Allah juga memberi petunjuk tanda-tanda kecil dengan memperlihatkan kesuburan dan perkembangan budaya negative yang diamalkan oleh masyarakat itu bertambah pengamal dan penerimaannya. Tanda-tanda kecil ini  jelas kelihatan berkembang bertambah besar dan akhirnya perkara yang negative dan buruk diterima majority masyarakat dan menjadi kebanggaan pula. Perkara-perkara yang dimaksudkan negative itu termasuklah perbuatan dan amalan yang bercanggah dengan syariat dan hukum agama sehingga amat jelas rakyat dan pemimpin seolah-olah tidak mendapati bahawa perlakuan yang buruk dan fasik itu sebagai sesuatu yang hina atau merbahaya pada nilai sejagat.

Apabila masyakat atau rakyat sesebuah negeri itu telah menerima dan berasa apa yang buruk itu sebagai adat dan budaya yang baik sehingga berusaha bersungguh-sungguh mengimarakkannya atau setidak-tidaknya tidak melarang keburukan dan kejahatan yang telah menjadi budaya hidup dan akhirnya melakukan atau mengamalkannya dengan rasa kebanggaan dan kesombongan maka ketika itu akan didatangkan oleh Allah sesuatu bencana besar yang penuh dengan penderitaan sebelum berlaku kemusnahan total kepada masyarakat bangsa berkenaan.

Tuhan ada juga memberi amaran bahawa perkara ini akan berlaku apabila golongan pertama iaitu ulamak menjadi bisu yang bermaksud golongan ilmuan seperti ulamak dan pakar-pakar yang ahli dalam sesuatu bidang keilmuan itu tidak memberi petunjuk mahupun penjelasan yang tepat sebagaimana diamanahkan kepada mereka. Ini termasuklah ahli agama atau ulamak dalam agama dan juga pakar-pakar dalam sesuatu bidang. Jika terdapat golongan yang memperingatkan dan menasihatkan tetapi suara mereka tidak berpengaruh lagi. Suara yang berpengaruh dan dituruti adalah suara-suara dan pandangan  pengamal kefasikan atau keburukan.

Sesebuah negara atau tamadun itu juga akan hancur apabila hiburan sangat diutamakan. Rakyat akan leka dengan kesoronokan berhibur dan hiburan menjadi agenda utama dalam setiap majlis dan acara. Pengamal seni hiburan dijulang dan dijadikan model tarikan masyarakat. Akhirnya simpton bersenang-senangan atau menolak sesuatu pekerjaan yang dianggap berat berlaku dan membudaya. Jiwa sebenar menjadi kerdil dan lemah kerana hiburan akan menghilangan semangat juang dan jati diri yang terpuji. Anak muda berjiwa lemah. Tentera juga tidak berjiwa waja. Akhirnya dengan mudah maruah dan kedaulatan negara ditawan atau dipengaruhi. Tiada rekod sejarah mencatat sesebuah negara yang ditawan atau dipengaruhi adalah lebih tinggi maruah, mulia mahupun berkuasa lebih daripada negara yang menjajah.

Semua petunjuk dan tanda-tanda di atas telah nyata kelihatan dalam budaya kehidupan kita pada hari ini. Hanya tunggu masa sahaja untuk keruntuhan dan kekocarkaciran dan akhirnya rakyat terpaksa hidup dalam kesulitan dan kesangsaraan. Hal ini hanya boleh dinafikan atau dielakkan jika pemimpin pada hari ini segera balik ke pangkal jalan. Rakyat kena bangun menolak mahupun memecat pemimpin yang tidak amanah dan pemimpin yang menyeleweng dan salah menggunakan kuasa. Jika tidak,  takdir ketetapan Tuhan akan lebih cepat dirasakan keazaban bagi mereka yang lalai.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Hari Buruh/Pekerja 1.5.2015
Seri Negeri Melaka

Wednesday, March 13, 2013

MENGHARAP MAGERAN TIDAK JADI DARI DIMENSI CAHAYA TERPUJI


MENGHARAP MAGERAN TIDAK JADI DARI DIMENSI CAHAYA TERPUJI

Dalam sejarah politik Malaysia, paling tidak sudah dua kali peristiwa MAGERAN berlaku. MAGERAN berlaku kerana kerajaan berasakan kekuatan dan pengaruh politik BN tercabar atau terhakis. Peristiwa itu ialah MAGERAN di KL 1969 dan MAGERAN merampas kuasa di Kelantan.  Tun Sheikh sangat setuju dengan kata-kata pendakwah terkenal dunia berasal dari India iaitu Dr Zakir Naik bahawa mengikut kajian oleh pakar-pakar sejarah Islam terhadap catatan sejarah dunia,  segala kerosakan yang berkaitan dengan keamanan dan keharmonian sesebuah tamadun ialah hasil tangan atau pemikiran orang politik.

 Dr Zakir Naik berhujah bahawa orang politiklah yang menyebabkan pertumpahan darah, terkorban atau melayang nyawa manusia akibat pelbagai jenis pertempuran dan peperangan. Beliau mengajak berfikir supaya manusia atau tamadun dunia pada hari ini mengubah sistem politik yang diamalkan. Beliau sendiri mengesyorkan supaya mencoba sistem pentadbiran Islam diguna pakai kerana hukum-hakam dalam Islam meliputi segala sesuatu untuk segala bangsa manusia dan terdapat pelbagai hikmah dan rahsia untuk kesejahteraan manusia dan dunia.

Tun Sheikh baru menerima desas-desus dari kerabat istana yang khuatir ada perancangan jahat untuk menangkap ketua pemimpin pembangkang secara perundangan. Di waktu yang sama akan ada puak-puak yang membuat provokasi yang akan menyebabkan penyokong PR marah dan hilang sabar yang akan berdemontrasi menuntut DSAI dan yang lain-lain dibebaskan segera. Hal ini seterusnya terjadi  secara kekerasan sehingga  menyerupai ‘Arabs Spring’. Keadaan ini memang dirancang kerana Pencerobohan Sulu gagal. Gagal kerana rakyat mengasihi dan menghormati serta sangat menghargai pengorbanan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera yang berjaya mengawal keamanan. Ada pihak-pihak tertentu cuba memperlekeh pengorbanan mereka tetapi  ternyata yang memperlekeh dan mengapi-apikan ini adalah dari kumpulan pro-AMNOBN.

Beberapa penganalisa politik juga memberi nasihat dan peringatan agar jangan melayan samseng-samseng AMNOBN yang tidak bertamadun ini. Mereka juga mengingatkan bahawa memang terdapat penyokong PR dari kalangan kerabat diraja di seluruh negara kerana berpendapat AMNOBN tidak amanah dan terang-terang melakukan penyelewengan. Pemimpin AMNOBN bersikap hipokrit dengan pihak istana. Mereka juga kesal dengan kumpulan polis jahat dalam PDRM. Mereka serupa sahaja seperti dalam cerita-cerita polis jahat dalam tv. Ada yang bersyubahat dengan kongsi gelap, penguasa tempatan yang rasuah , menteri yang tamak dan pemimpin-pemimpin politik yang rakus dan tidak jujur dengan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Namun begitu tidaklah semuanya jahat kerana yang baik dan berakhlak mulia juga ramai.

Jika dilihat suasana di Malaysia hari ini, kumpulan atau tokoh-tokoh polis jahat atau polis samseng inilah yang telah merosakkan nama baik PDRM. Gaya samseng mereka ketika mengeluarkan kenyataan atau ketika persidangan akhbar dan kenyataan akhbar begitu memualkan kerana berlagak angkuh dan sombong. Seharusnya mereka memberi  makluman secara  bersopan dan tepat pada berita yang hendak disampaikan. Pakar-pakar  pysikologi ada memberi  pandangan agar pegawai-pegawai polis dan tentera yang kasar dan angkuh ini dikuarintin sahaja kerana sikap mereka tidak menunjukkan ketegasan dan kehebatan selaku perwira Negara tetapi seperti samseng yang mengancam rakyat. Keangkuhan PDRM telah mengikis keyakinan rakyat  yang mengharapkan perlindungan mereka. PDRM atau ATM dicadang menggunakan pegawai perhubungan awam yang professional dari kalangan mereka, yang terlatih supaya maklumat sampai kepada rakyat tanpa prejudis.

 Mengikut pakar-pakar psikologi dan sosiologi ini, pegawai polis atau tentera tidak perlu menunjukkan sikap samseng yang tidak kena pada tempatnya tetapi sebaliknya tindakan yang diambil hendaklah tegas tanpa bias dan memilih bulu. Maksudnya hendaklah juga berlaku adil dengan menangkap sesiapa sahaja yang telah melanggar peraturan atau undang-undang tidak kira dari kalangan rakyat biasa atau pun menteri AMNOBN. Selama ini PDRM dilihat sebagai agensi yang menjadi macai AMNOBN kerana hanya bertindak mengikut arahan dan kehendak orang-orang politik dari AMNOBN. Kadang-kadang tindakan PDRM kelihatan hilang kewajarannya kerana tidak berlaku adil.

 Mereka sering bertindak tanpa sedar bahawa rakyat menghormati mereka kerana mereka adalah anggota yang bertanggongjawab mengawal keselamatan untuk semua. Mereka bersenjata dan berlesen untuk menggunakannya. Jika imej mereka membosankan sebagaimana yang sedang berlaku ketika ini sehingga ada rakyat menganggap mereka seperti anjing kerajaan AMNOBN yang korup maka amatlah mendukacitakan kerana penghormatan dan penghargaan yang pernah diberi sering rosak akibat kumpulan polis yang jahat  atau samseng ini.

Tun Sheikh sangat berharap PDRM kembalikan keyakinan kehebatan mereka bertindak dan mengawal keamanan seperti ketika Perhimpunan Rakyat Menuntut Keadilan pada 12.1.2013. Mereka boleh melakukannya jika mereka tidak terpengaruh dengan desakan ahli-ahli politik yang berkepentingan. Ini sangatlah penting kerana suasana menjelang PR 13 2013 ini bertambah hangat apabila ramai para veteran AMNOBN sendiri menyokong perjuangan Pakatan Rakyat. Mereka bukan sahaja telah menyokong secara terang-terangan tetapi juga membongkar penyelewengan dan rasuah yang diamalkan oleh AMNOBN. Bekas TPM Tun Musa Hitam contohnya secara tidak langsung telah mengeluarkan kenyataan yang begitu rasional bahawa Negara ini tidak akan bangkerap dan huru-hara jika berlaku pertukaran pemerintahan dengan syarat pihak yang kalah menghormati undang-undang dan system demokrasi yang diamalkan.

Dalam keadaan sekarang, pola sokongan terhadap Pakatan Rakyat adalah lebih tinggi berbanding dengan AMNOBN kerana segala kelompok dari pelbagai bidang sama ada professional, teknikal dan sebagainya dari peringkat  bawah hingga kepakaran tertinggi terdapat dalam PR. Ironi sekali jika AMNOBN terus menggunakan penyokong yang berlagak samseng yang sebenarnya bukan menakut-nakut rakyat tetapi telah membibitkan rasa benci rakyat kepada kerajaan. Strateji dan perlakuan samseng yang hodoh ini sama ada oleh penyokong bebal atau polis semestinya dihentikan segera oleh AMNOBN dan polis hendaklah mengambil tindakan undang –undang segera terhadap mereka demi peranan  mereka sebagai penjaga keamanan.

Akhir sekali Tun Sheikh sendiri mendapati bahawa dalam Pakatan Rakyat yang mencintai keamanan dan keharmonian, tidak menafikan jasa-jasa BN terhadap Negara kecuali menolak pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa maka telah layak mereka mengambil-alih meneruskan perjuangan dalam politik memerintah dan membangun Negara. Jika pun gagal dalam pilihanraya, pandangan mereka juga tidak salah dilihat, didengar dan diterima untuk pembaikan demi untuk rakyat dan Negara kerana di dalamnya tidak seperti dulu yang hanya dianggap Erdogan dan ulamak pondok. Pada realitinya,bekas jeneral tentera, bekas pegawai tertinggi polis, pakar senjata, pakar nukeliar dan sebagainya juga ada. Inilah sebagai suatu peringatan kepada AMNOBN yang diharap jangan memperlekehkan mereka dan janganlah merancang untuk mewujudkan MAGERAN seperti pernah berlaku dalam sejarah Negara bangsa kita .

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Istana Shah Alam 13.3.2013

Wednesday, January 2, 2013

JIKA UMNO MAHU MENANG DAN JIKA MENANG PR 13 - SUATU DIMENSI FUTURISTIK


JIKA UMNO MAHU MENANG DAN JIKA MENANG PR 13 - SUATU DIMENSI FUTURISTIK

Ketika ini kelibat PM Ajaib sudah mula ditidurkan kerana terlalu banyak isu yang melingkari dirinya menjadi liability kepada AMNO. Semua orang dalam dunia pada umumnya tidak suka kepada Emilda Marcos kerana perangainya bukanlah bernilai sejagat yang positif. Dia berbelanja besar dan menggunakan wang rakyat untuk bermewah dan berlagak jutawan yang sombong. Tidak disangka Emilda Marcos juga lahir di Malaysia yang telah dibangun dan dimajukan oleh AmnoBN  sebagai sebuah Negara Islam  acuan Amno. Rupa dan gayanya pun hampir-hampir sama.

 Walaupun rakyat tahu PM Ajaib mewarisi kekayaan datuknya ke atas perniagaan judi antarabangsa di Genting, namun rakyat masih tidak percaya bahawa PM Ajaib yang berwajah menarik itu terlibat dengan rasuah berprofil  tinggi dan  orang jahat berdarah sejuk. Beliau hanya  dipercayai sebagai bangkai hidup baik tidak reput yang telah termakan nasi kangkang.  Pernah suatu ketika berita angin mengatakan beliau sanggup membuang Emilda Marcos Malaysia demi kepentingan UMNO dan Melayu tetapi apabila beliau mendapat sokongan  para kabinet dan kredit sahabat taulan yang memuji-muji Emilda Marcos Malaysia dan dari teman-teman syaitan dikenalinya  yang suka menjilat dan mengampu, hajatnya itu tidak menjadi reality. Ketika ini jika beliau kembali ingin mengotakan niat atau menepati janji dirinya sendiri, itu diperkirakan sia-sia dan sudah terlambat. Ini semua gara-gara saudagar karpet yang menjadi adik angkat mereka telah sanggup mati diletopkan dengan bom C4. Beliau telah  nekad memecah rahsia akibat dari tekanan hidup yang dicipta oleh  Emilda Marcos Malaysia.

 Papa Daddy PM Ajaib pula sudah berputus asa untuk membantunya setelah berjaya menyingkirkan Pak Lah. Beliau menasihati PM Ajaib berundur secara misteri dengan membawa kekayaan yang bertimbun bersama Emilda Marcos yang jelita itu. PM Ajaib dipujuk supaya jangan risau dengan sejarah kerana namanya sebagai PM tidak akan dilupakan malah akan mencipta rekod baru seperti dirinya. Jika Papa Daddy memegang rekod berkuasa yang paling lama, PM Ajaib akan memegang rekod menjadi PM dengan perlantikan Kabinet bukan hasil pilihanraya dan cukup pula penggalnya selama 4 tahun pun serupa seperti tempuh pilihanraya. Rekod seterusnya ialah sebagai PM yang tidak membubarkan parlimen dan akan dinobat sebagai PM yang yakin kuasa dan hukum demokrasi berparlimen kerana pada zamannya kabinet dan parlimen terbubar mengikut perlembagaan dan peraturan demokrasi. Rekod lain ialah antara tokoh menteri yang menganggotai kabinet yang paling lama.

Kepada Papa Daddy, PM Ajaib boleh dibentuk dan dicucuk hidung tetapi untuk campur tangan dalam urusan rumah tangga orang lain yang dianggap seperti anak didiknya itu tidaklah beliau sampai hati kecuali jika anak didiknya berperangai seperti Anwar Ibrahim yang terang-terangan dianggap menderhaka ketika tidak mahu bersyubahat dengan penyelewengannya. Papa Daddy adalah seorang tokoh yang mencintai isteri dan dia memahami perasaan anak didiknya PM Ajaib. Papa Daddy tahu bahawa dirinya normal kerana boleh mengontrol isteri tetapi sering cemas ketika Paklah mengutamakan Endon dan ketika ini cemasnya memuncak kerana PM Ajaib dipercayai termakan nasi kangkang. Pada mulanya Papa Daddy tidak kisah tetapi apabila mendapat berita dari perisik siput babinya yang setia mengenai pertelingkahan dan pergaduhan keluarga Emilda Marcos Malaysia yang telah membuang  saudara dan taksub kepada bomoh, Papa Daddy bertambah cemas.

Cerita lagenda ini Tun Sheikh suratkan dari hasil analisa sejarah dan firasat serta mitos untuk pengajaran. Mengikut sejarah peribadi, Papa Daddy dulu juga ada bomoh besar dari India membantunya mentadbir. Kini ada berita bomoh Emilda Marcos Malaysia lebih besar dari yang dimilikinya dan beliau sendiri rasa ngeri dan gerun. Era Pak Lah telah tamat dan Papa Daddy terselamat 7 tahun dari dipaksa mendiami rumah teres berjeriji besi.  Beliau sudah 4 tahun juga terselamat di bawah PM Ajaib. Beliau terus merancang dan berasa hanya selamat jika anaknya menjadi perdana menteri.  Hendak mengharapkan mati, nampaknya beliau susah mati dan bayang-bayang maut pun sangat menakutkan. Beliau sedar doa ulamak memang tidak boleh buat main tetapi itu semua telah berlalu. Apa yang beliau nampak adalah untuk meneruskan hidup, terus  berusaha dan memuaskan nafsu dirinya berkuasa hingga mungkin sampai doanya termakbul iaitu mengharap ada yang menembaknya sehingga mati. Risau juga andaikata ada yang menembak beliau tetapi tidak mati juga sebab doa orang zalim tidak dimakbul oleh Tuhan.

Ini adalah suatu hasil pembacaan secara firasat sahaja. Dulu pun Tun Sheikh ada gerak rasa dan menyokong PM Ajaib mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan AMNO dan orang Melayu. Beliau mampu untuk gaib dan kabur atau menghilangkan diri. Beliau mampu hidup bermewah di Negara lain. Ada beberapa pilihan tetapi jika PM Ajaib memohon pengampunan, berterus terang dan menyerah diri serta mengangkat darjat Islam dan meletaknya di tempat tertinggi yang wajar, itu adalah lebih baik dan terpuji. Apalah ditakutkan jika tidak terlibat. Berani kerana benar dan kalau salah pun apabila terhukum di dunia dengan hukum syarak maka di akhirat insyaalah dapat pengampunan. Orang bukan Islam pula apa hendak dikecohkan kerana hukum syariat Islam tidak terhukum kepada mereka kecualilah mereka sendiri memilih berhukumkan dengan syariat Islam.

AMNO boleh menang PR 13 dengan memodalkan penarikan diri PM Ajaib  dan isteri sebagai liability dengan nafas baru. Tetapi jika tidak mengubah dasar perlembagaannya kepada syariat Islam maka pemerintahan seterusnya akan bertambah mendung dan gelap. Lebih-lebih lagi apabila TPM Muyid yang telah tua menjadi PM boneka Papa Daddy atau terikat dengan janji yang mesti ditepati dengan keluarga Papa Daddy. Ketika beliau disingkirkan nanti segalanya seperti sejarah yang berulang selagi ciri-ciri dan amalan kebobrokan tidak berubah. Rakyat terus akan menjadi mangsa dan malang. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila anak papa Daddy jadi PM. Harap-harap analisa fakta sejarah, mitos, firasat dan lagenda ini tidak menjadi kenyataan. Tun Sheikh yakin ia tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat berani berubah dan memberi pengajaran kepada perjalanan politik tamadun Melayu pada pilihanraya 13 ini nanti. Amin!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Damansara KL 3.1.2013
 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere