Sunday, July 18, 2010

PETUA JIKA TAKUT HANTU, JIN DAN SYAITAN

NASIHAT KEPADA ANDA YANG TAKUT HANTU, JIN & SYAITAN

Pada 1 Julai lepas, Tun Sheikh menerima panggilan telefon dari seorang sahabat lama yang pernah seguru mempelajari kitab Hikam 18 tahun dahulu. Beliau meminta tolong Tun Sheikh menjengok pegawai bawahannya kerana diganggu perbuatan khianat secara bathin dan beliau tidak dapat pergi kerana sedang bergegas untuk menghadiri mesyuarat penting di kementerian.

Ketika Tun Sheikh sampai di pejabat yang dimaksudkan iaitu terletak di Kompleks Jabatan Perdana Menteri lama, keadaan begitu sepi dan hanya seorang sahaja yang Tun Sheikh temui telah tolong menunjukkan bilik anak buah kawan Tun Sheikh itu. Beliau ialah seorang pegawai kanan, wanita berusia diawal 40-an sedang terisak menangis ketakutan dengan wajah yang pucat lesi seorang diri di suatu sudut di luar bilik pejabatnya yang kelihatan agak suram kerana terdapat beberapa lampu yang tidak menyala kerana rosak.

Apabila ditanya apa masalahnya, beliau menunjukkan keadaan biliknya yang berselerak dan penuh ditaburi dengan lada hitam. Beliau sangat terkejut dan mengesyaki ada orang dengki dan hendak menganiaya dirinya. Beliau berasa dirinya seram sejuk dan berdebar-debar serta lemah untuk berdiri dan berjalan.

Impresi pertama dibenak Tun Sheikh terhadap jabatan yang terkenal ini adalah positif dan juga negatif. Positif ialah dapat merasakan popularitinya adalah hasil kerja pegawai dan kakitangannya yang bekerja dengan baik dan cemerlang. Negatifnya pula ialah bila mana tiada kawan atau staf terdekat datang menghulur tangan atau mengambil tahu masalah dirinya. Hal sebegini adalah lumrah di jabatan atau di sesebuah agensi yang terkenal cemerlang kerana budaya kerja dan keseriusan pegawai atasan. Adalah lumrah suasana seperti ini adalah akibat dari kesadaran warganya untuk bekerja keras sehingga terpaksa bersaing untuk menunjukkan prestasi tinggi masing-masing. Tanpa sadar, nilai kemanusian terabai sebagaimana dihadapi oleh pegawai yang ketakutan ini.Masing-masing berasa sibuk dengan tugasan sendiri dan tiada masa untuk menghulur tangan.

Pada pandangan Tun Sheikh, keadaan dirinya yang lemah adalah akibat daripada terkejut apabila mendapati taburan lada hitam di sepanjang laluan dan di dalam biliknya. Sangkaan ada orang coba menganiaaya dirinya telah menambah buruk keadaan. Tun Sheikh segera menyuruh beliau bertenang dan menghilangkan sangkaan negatif atau perasangka buruk dengan menyuruh memikirkan perkara yang baik iaitu apa yang terjadi itu bukanlah untuk menganiaya dirinya tetapi ada seseorang yang berusaha memulihkan tempat yang dianggap keras itu secara perubatan tradisional dan berahsia.

Setelah Tun Sheikh menyuruh beliau supaya jangan takut dan membersihkan biliknya seperti biasa dan setelah melihat beliau berasa yakin dan semangatnya pulih kembali, Tun Sheikh bersama seorang teman yang sengaja dibawa pun meminta diri. Tun Sheikh meninggalkan pesan dan nasihat kepada beliau supaya selalu berwuduk, membaca fatiha, 4 Qul dan ayatul Qursi bagi mengelak gangguan jin, hantu atau syaitan.

Semasa berjalan keluar dari biliknya, Tun Sheikh tergerak seperti ada tarikan mengikuti lorong yang agak suram. Tun Sheikh telah menggunakan teman Tun Sheikh seorang yang penakut kerana aura sipenakut adalah lebih sensitif daripada seorang yang bersemangat kuat dan pemberani bagi mengesan kehadiran mahluk halus. Di penghujung lorong itu telah membawa kami ke tandas dan tiada apa-apa petanda dan petunjuk yang dapat Tun Sheikh rasai samada melalui diri sendiri mahupun dari teman penakut tadi.

Kami berpatah balik dan menghala lorong ke sebuah surau dan apabila masuk ke surau itu tiba-tiba bulu roma kami tercacak berdiri dan teman Tun Sheikh bertindak spontan seperti mahu melarikan diri tetapi terhalang oleh diri Tun Sheikh kerana telah menjangka apa yang akan dilakukan oleh seorang yang penakut atau dalam ketakutan. Apabila biji-biji bulu roma kami telah hilang dan normal kembali, Tun Sheikh menerangkan kepada teman Tun Sheikh bahawa itu adalah salah satu terapi untuk dirinya yang meminta tolong Tun Sheikh untuk memberi petua atau amalan kepadanya yang sering takut dan lemah semangat. Begitu juga dengan cara Tun Sheikh memberi nasihat dan memberi pandangan kepada pegawai wanita yang terkejut tadi sehingga beliau berkeyakinan dan bersemangat kembali adalah juga sebagai pelajaran atau petua yang sesuai untuk teman Tun Sheikh tadi.

Setelah itu kami pun pulang dan sahabat berusia 25 tahun yang menemani Tun Sheikh telah kembali ke pejabat meneruskan kerja dan membuat kerja lebih masa sampai ke malam. Esoknya beliau telah memberitahu Tun Sheikh bahawa beliau terpandang mahkluk hitam bermata merah malam tadi di pejabat dan segera balik dan tidurnya juga tidak lena seperti malam-malam biasa. Tun Sheikh tersenyum sambil memberi tahu sebenarnya beliau tidak menjalankan arahan Tun Sheikh supaya membakar 7 biji lada hitam tadi. Maka jin kafir yang ketakutan itu telah mengikutinya sehingga berjaya melupakan untuk melakukannya.

Tun Sheikh menjelaskan bahawa di pejabat yang kami lawati itu ada jin Islam. Jin Islam adakalanya tidak suka kepada seseorang yang ada saka dari kalangan jin kafir. Laluan jin Islam ditaburi dengan lada hitam oleh orang yang mempunyai saka itu bukanlah bermaksud untuk menganiaya pegawai wanita itu tetapi untuk mengancam jin Islam di situ supaya jangan mengganggu dirinya yang didampingi saka jin kafir. Sebenarnya banyak jenis jin tidak suka dengan lada hitam tapi bukan semua. Apa yang dilihat oleh sahabat Tun Sheikh itu adalah jin kafir yang berusaha melupakannya supaya jangan membakar lada hitam yang Tun Sheikh suruh itu. Jika lada itu dibakar maka dia tidak lagi boleh mengikut tuan sakanya ketika berada di bangunan pejabat itu.

Akhir sekali jika anda adalah seorang yang penakut dan lemah semangat, kontrollah perasaan takut itu hingga sampai kemuncak takut iaitu menggigil dan berpeluh dan kadang-kadang sehingga terkencing. Jangan pejam mata dan bernekadlah menunggu untuk hadapi apa saja sambil berzikir sehingga peluh atau gigil berhenti dan insyaallah selepas itu anda bukan seorang penakut lagi.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere