Tuesday, August 10, 2010

Bicara Hati, Perihal Hati Dan Berhati-Hati

Dunia Ini Kecil Dan Kita Akan Bersua Lagi Di Akhirat
Bicara Hati, Perihal Hati & Hati-Hati


Dimensi kali ini akan meceritakan suatu hal mengenai perkara yang sering berulang kepada diri Tun Sheikh sendiri. Tun Sheikh percaya hal ini juga berlaku kepada kita semua, cuma peratus keperihatinannya dan kepekaannya sahaja yang menjadikannya samada hambar atau terfokus.Apabila Tun Sheikh memfokus sesuatu bisikan hati, Tun Sheikh sering teringat pesanan arwah bapa supaya berhati-hati apabila memandang hati kerana ia tidak membohongi. Dan apabila kita yakin dengan bicara hati tetapi tidak ambil peduli terhadapnya kerana kita tidak suka atau sebagainya maka bersedialah untuk menerima musibahnya. Dan musibahnya adalah sepuluh kali ganda dari kebiasaan yang terhasil dari akal fikiran.Dan pada ketika melihat bicara hati janganlah lidah berbicara atau berkata-kata kerana biasanya mulut menjadi begitu masin.

Maksudnya di sini jika sesuatu perkara kita melihat dengan mata hati maka kecepatannya, kelebihannya dan juga musibahnya adalah sepuluh kali ganda daripada sesuatu yang diputuskan oleh akal.Dan apabila kita mendengar dan melihat hati yang berbicara, kita hendaklah diam dan memohon keberkatan dari Allah kerana jika kita berbicara atau berkata-kata dengan lidah dari pandangan mata hati maka apa yang kita luahkan akan benar-benar terjadi. Sebenarnya bicara hati memang tidak pernah bohong. Kita dilatih supaya berdiam kerana untuk mengelak fitnah dunia yang akan memudharatkan kepada diri kita juga.Bicara hati yang ada pada setiap manusia sangat-sangat dicemburui oleh jin dan syaitan. Ini adalah kerana zat kejadian jin dan syaitan adalah cenderung kepada penipuan dan pembohongan. Manakala hati adalah dari zat mendengar, tunduk dan taat.

Perkara sebegini sering berlaku kepada Tun Sheikh seolah-olah ada dua sumber fikiran. Satu datangnya dari akal dari bahagian kepala dan satu lagi dari hati di dada. Dan tentunya ada satu lagi yang palsu tetapi terbayang begitu tulen iaitu dari bisikan di telinga. Jangan sekali-kali mengikut bisikan di telinga kerana ia adalah bisikan jin dan syaitan tetapi tidak apa salahnya jika kita menuruti hal-hal yang tidak bercanggah dengan syariat. Cuma kita kena berhati-hati kerana pada lazimnya bisikan di telinga meskipun baik dan ternyata tidak menyalahi syariat tetapi sering ada hidden agenda yang negatif juga kepada kita di akhirnya kerana syaitan dan jin itu adalah suatu makhluk yang profesional dalam hal menggoda dan menipu.

Peribahasa dan simpulan bahasa yang dapat menjelaskan hal ini adalah seperti 'tak mau tapi dah jodoh & benci tapi rindu atau dunia ini kecil manakala di akhirat kita akan bersua dengan orang yang kita kenali'. Walaupun kurang tepat tetapi perumpamaan ini bolehlah diguna pakai untuk memberi maksud yang begitu mendalam.

Teman-teman Tun Sheikh sering menegur kerana kadang-kala mereka menganggap Tun Sheikh hanya merapu atau melalut. Kadang-kadang dari mereka yang dekat menganggap Tun Sheikh bersangka buruk. Rupa-rupanya di sinilah rahsianya pesanan bapa supaya diam apabila terlihat bicara hati. Apabila ketepatannya seolah-olah tidak diterima sendiri dan oleh telinga teman dan kawan-kawan yang mendengarnya maka berbagai tanggapan akan terkeluar dari fikiran mereka. Jika mereka terlihat dan mendapati ketepatan pandangan hati Tun Sheikh, maka panjanglah cerita dan berjela-jela pujian. Ini sangat tidak bagus untuk perjalanan dan kehidupan hati.

Tun Sheikh juga sudah mendapat khidmat nasihat dari pakar agama yang mengatakan bahawa hal sebegini memang ada dan nyata kepada setiap diri manusia. Tetapi biasanya bisikan hati ini tidak diambil peduli oleh mereka lebih-lebih lagi jika akal dan pendengaran di telinga telah menguasai diri atau lebih berpengaruh dari hati itu sendiri. Dan memang terdapat suatu disiplin agar diam dan berahsia sahaja jika sudah biasa melihat atau mendengar bicara hati.

Ada juga pepatah Melayu yang mengatakan jika suka ikut nafsu nanti badan akan lesu dan jika suka ikut hati nanti mati. Petua sebegini jika mengikut disiplin agama ia adalah tidak tepat tetapi jika mengikut adat atau pengalaman hidup tanpa memikirkan perincian falsafahnya maka ia kelihatan begitu tepat. Sebenarnya jika perbidalan ini dihurai mengikut falsafah agama, ia juga adalah tepat dimana sesuatu tindakan yang suka mengikut keputusan akal yang terpengaruh dengah nafsu maka adalah sia-sia dan akhirnya membuat badan jadi letih sahaja kerana membuang tenaga membuat pekerjaan yang tiada berpenghujung sebab nafsu itu tiada batasannya. Manakala jika mengikut hati tanpa mengetahui perbezaan antara hati, nafsu, telinnga dan akal yang telah dikuasai nafsu juga akan mengakibatkan jiwa atau nyawa kita sendiri akhirnya melayang atau maut.Ini adalah disebabkan makhluk yang memainkan peranan besar mendampingi nafsu dan telinga adalah musuh nyata kepada manusia iaitu syaitan yang bercita-cita dan mengehendaki kita bersama mereka di neraka.

Jadi...seharusnya bagaimana?? Jalan keluarnya ialah hendaklah kita mempelajari apa itu hati, nafsu dan akal. Begitu juga kita wajib mengenali siapa itu jin dan siapa itu syaitan. Dan cara yang mudah untuk mengetahui semuanya ialah dengan merujuk dan membaca buku yang menceritakan perihal tersebut. Buku ini juga berupaya membezakan antara pengertian manusia, tanggungjawab dan peranannya. Dan begitu juga kepada peranan jin dan syaitan. Buku yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah kitab suci al Quran yang juga terkenal sebagai kitab mengandungi petunjuk dan kitab yang membanding dan membedakan apa-apa yang hak dengan yang batil. Kitab ini sengaja dihadiah dan diturunkan untuk menusia menggunakannya sebagai panduan dan rujukan sahih dan untuk selamat hidup di dunia dan akhirat.

Sehubungan dengan itu sukalah Tun Sheikh mengajak anda sekalian, marilah sama-sama kita mentelaahnya supaya dapatlah kita mengenal hati dan dapat sentiasa berhati-hati dengan musuh kita yang nyata.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere