Zikir, Berzikir dan Rahsia Zikir
‘Pakcik sudah berusia 80. Kalau ikut sains perubatan, saya hanya berani kata pakcik ada peluang 5050 sahaja, tetapi terserah pakcik…’
Itu adalah kata-kata seorang pakar bedah berbangsa Cina 2 tahun lalu kepada Pakku Raja hasil keputusan pemeriksaan terhadap jantung dan sistem pernafasannya. 5050 bererti peluang untuk hidup hanya 50% dan peluang mati juga 50%. Agak terkejut Pakku Raja mendengarnya kerana selama ini beliau tidak pernah diserang sesak nafas atau susah bernafas. Baru itu pertama kali dan beliau dinasihatkan melakukan pembedahan pintas agar pernafasan pulih sedia kala. Jika beliau tidak mahu melakukan pembedahan, doktor menjangkakan sisa umurnya tidak akan bertahan lama. Serba salah juga Pakku dan ahli keluarganya hendak membuat keputusan. 5050 sebenarnya kosong dan bergantung nasib saja. Manakala jika dibiarkan, dikhuatiri saluran nafas yang tersumbat bertambah parah dan boleh mengakibatkan kematian pada bila-bila masa saja.
Pakku Raja pada mulanya ingin membiarkan saja memandangkan usianya pun telah lanjut. Kalau bedah pun bukannya berpeluang besar yang meyakinkan. Ketika buntu membuat keputusan beliau mula terkenang sanak saudara kaum keluarga dan sahabat handai yang hendak ditinggalkan buat selamanya tetapi apabila beliau terkenang seorang sahabat, murid dan juga seperti anak angkat kepadanya beliau mula sebak kerana dengan anak angkatnya ini banyak hal-hal di luar dimensi dilalui dan dialami bersamanya. Beliau berasa sedih kerana anak angkatnya ini seperti murid yang nakal dan sering mengembara di kawasan larangan. Sering kali ditangkapnya dan seringkali juga ingatan kepada anak angkatnya ini membuat dirinya sendiri insaf dan berupaya mengembara jauh di dimensi yang tidak bertepi itu. Akhirnya beliau mengakui bahawa anak angkatnya ini dengan dirinya saling ada hubungan jiwa dan batin. Saling berguna dan ada faedah kebaikan pada diri masing-masing.
Ketika teringatkan anak angkatnya yang nakal dalam beramal inilah beliau seperti diperli agar mencoba dari menyerah diri dan tawakal menghadapi kematian sebelum mencoba dan beriktiar. Beliau lantas terus berjumpa doktor dan menandatangani surat bersetuju menjalani pembedahan. Doktor pada mulanya agak terkejut dan menjelaskan beliau terpaksa segera melakukannya sebelum Pakku Raja diintai kelemahan fizikal kerana faktor usianya. Mengikut kebiasaan, pesakit yang dibedah seperti Pakku Raja perlu berehat panjang sekurang-kurangnya sebulan. Jika kuat dan masih muda biasanya memerlukan rehat selama seminggu dua.
Di hari pembedahan, Pakku Raja dihantar dengan kesahyuan airmata seluruh keluarganya kerana mereka tidak yakin Pakku akan keluar dengan nafas baru. Pakku tidak terkata apa kecuali ekor matanya saja membelek satu persatu wajah anak isteri dan cucu-cucunya buat kali terakhir. Anak angkatnya yang nakal pun tidak ada lantas beliau terus berimejenasi bersama-sama berzikir dengannya dan dengan kawan-kawan lain. Zikir berjemaah biasa. Apabila selesai berzikir yang tidak sampai 15 minit beliau terdengar namanya dipanggil dan rupa-rupanya itulah suara doktor pakar yang telah selesai membedahnya dengan jaya selama 3 jam dan Pakku Raja direhatkan selama 5 jam. Setelah sadar beliau seperti biasa mahu bangun dan pergi kerana tiada rasa apa-apa kesakitan mahupun kejanggalan. Pakku Raja juga hairan kerana beliau berasa baru 15 minit tetapi pada hakikatnya sudah 8 jam.
Doktor pakar itu juga berasa aneh kerana setelah diperiksanya didapati Pakku sihat dan boleh keluar dari hospital keesokan harinya. Hari berikutnya Pakku sudah keluar rumah menziarah saudara mara seperti biasa dilakukannya. Pakku Raja juga tidak lupa menelefon dan menemui anak murid atau anak angkatnya yang nakal itu menasihatkannya agar terus berzikir kerana itu adalah anugerah Allah dan beliau telah diperlihatkan keistimewaan dan rahsia zikirullah itu.
Awal ramadhan 2010 lepas, sekali lagi Pakku Raja diserang penyakit tetapi bukan sesak nafas kecuali rasa kebas-kebas sebelah badan. Apabila dibawa pemeriksaan doctor pakar, beliau didapati bakal lumpuh seluruh badan jika terlambat mendapat rawatan. Pakku Raja telah dimasukkan ke wad dan seminggu beliau terlantar di hospital. Lidahnya kelu dan segala anggota badannya tidak lagi bertindak mengikut arahannya. Beliau memahami tutur kata kaum keluarga tetapi mereka melihat beliau dengan putus harap kerana tiada tindak balas dari Pakku.
Setelah Pakku Raja sendiri telah putus harapannya kepada seluruh anggota fizikalnya beliau terilham bahawa beliau masih boleh berfikir tetapi sia-sia untuk memahamkan orang lain. Malah fikirannya yang melayang-layang dirasainya sia-sia saja lalu Pakku Raja terus berzikir setiap detik sehingga beliau kepenatan dan terlelap. Apabila terjaga dari tidur, beliau terasa sihat seperti biasa kecuali tutur katanya masih tidak sinkronis atau selari dengan tindak balas lidah. Beliau dimaklumkan telah tidur atau koma selama 2 hari. Setelah berehat 3 hari di hospital, beliau dibenarkan pulang dan ketika Tun Sheikh menziarahi Pakku pada 27 Ramadan, beliau menasihatkan Tun Sheikh agar serius berzikir dan jangan putus lagi. Ini adalah kerana beliau diperlihatkan dengan aura berzikir ketika beliau sedang koma.
Berzikirlah dengan mengingat sentiasa kepada Allah. Berzikirlah dengan penuh perasaan dan pandangan hanya tertumpu kepada Allah di hati dan menilik ke hati. Rahsianya seperti yang dialami oleh Pakku Raja. Dan zikir itu membawa ketenangan dan kekuatan kerohanian. Andaikata berpisah roh dengan jasad ketika sedang berzikir maka ketika itu juga roh akan disambut oleh Allah dan di tempatkanNYA sebagai golongan kanan. Itulah orang yang berbahagia.
Berbagai perasaan dirasai oleh Tun Sheikh ketika mendengar nasihat dan pesanan Pakku Raja…yang paling menyeret dan menyayat ialah watak anak angkat yang nakal itu…………adalah Tun Sheikh…….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment