Tuesday, August 24, 2010

AMAL KEBAIKAN BAGAI BUNGA YANG HARUM

Hakikat Amal Kebaikan
Bagai Bunga Yang Harum Mewangi

Di bulan Ramadhan atau bulan puasa ini, umat Islam bukan semuanya terikat untuk menambah amal ibadah. Islam hanya menyediakan wadah dan saranan malah panduan terhadap waktu, tempat atau keadaan yang baik dan terbaik untuk beramal. Itulah antara kehebatan dan kesempurnaan Islam ini. Tiada paksaan dalam beragama dan kitalah yang merancang, berusaha dan berikhtiar untuk kebaikan dan keuntungan diri kita sendiri.

Pada hakikatnya, hal untuk melakukan perbuatan dan amalan baik adalah mengikut pembawaan dan pilihan diri masing-masing. Pembawaan adalah sikap atau perangai yang biasa. Dan perangai tingkah laku yang biasa ini terhasil dari pelbagai pengaruh sepanjang penghidupan yang telah dilalui. Manakala pilihan diri sendiri adalah kehendak atau perancangan diri sendiri dengan kuasa ikhtiar dan usaha untuk mencapai matlamat yang hendak digapai.

Budaya kebaikan adalah mengikut kelaziman dan kebiasaan seseorang hingga terpancar sebagai sikap, perangai atau adab. Jika ada sesuatu hal atau perubahan diri seseorang yang biasa melakukan maksiat kepada amalan baik seperti bertaubat maka itu adalah rezkinya. Jika dikaji biasanya orang itu adalah berasal dari golongan atau keluarga atau keturunan yang baik-baik. Biasa juga jika seseorang itu pernah berkelakuan atau beradab sopan tetapi kerana pengaruh lingkungan atau sesuatu perististiwa yang mengakibatkannya bertukar perangai dari beradab kepada biadab, bertukar sikap kepada baik semula atau berbalik ke pangkal jalan adalah suatu kebarangkalian dan kemungkinan yang lumrah.

Atau jika seseorang itu pernah menikmati apa-apa atau sesuatu impak dari kebaikan orang lain terhadap dirinya ketika berada dalam keadaan lemah tidak berdaya hingga terkesan dan insaf, ini juga dianggap lumrah pada penghidupan. Dan kebarangkalian dan berkemungkinan perubahan perangai atau adab kepada seseorang itu yang berubah menjadi baik dari perwatakan jahat dari kumpulan ini mempunyai peratusan yang besar boleh berlaku.

Mesej di sini ialah jika kita berasal dari keturunan yang tidak baik dan hidup berterusan di dalam suasana yang tidak sihat, kasar dan liat maka adalah payah untuk kita berubah menjadi baik. Ini adalah kerana matahati kita telah terbalik melihat yang biasa jahat dan buruk itu sebagai baik dalam keadaan kita. Padahal yang sebenarnya tidak baik di pandangan mata orang yang berada di luar pengaruh suasana kehidupan buruk kita.

Bulan puasa bukanlah jaminan kepada kita untuk menyakini bahawa orang yang jahat dan biadab boleh menjadi baik jika mereka memang jenis atau berasal-usul dari kelompok atau keluarga yang biadab tegar. Cuma ada dua kemungkinan apabila seseorang yang sungguh biadab atau mempunyai amalan dan perangai biadab tiba-tiba dengan tidak disangka-sangka berubah menjadi baik dan besopan santun iaitu hasil daripada doa manusia dan takdir Illahi . Pun begitu tidak semestinya ia mesti berlaku dalam bulan ramadhan.

Jika hal ini berlaku, ia dikatakan sebagai telah mendapat taufik dan hidayat serta inayat. Dan perkara sebegini sebenarnya adalah sangat langka. Jika dikaji, hal ini sebenarnya adalah kes terpinggir, aneh atau ganjil. Sayangnya masyarakat umum pada hari ini biasanya tidak mengetahui dan menyakini bahawa doa mereka sebenarnya memainkan peranan penting untuk mengubah diri seseorang yang biadab dan kasar tegar berubah. Doa berupaya merubah qadaq dan qadar, Insyaallah. Dan doa bukanlah milik pribadi atau seseorang individu tertentu sahaja. Setiap orang boleh berdoa. Cuma orang yang hatinya tebal dengan maksiat atau kejahatan adalah terhijab dengan keyakinan dirinya sendiri.

Hakikat kebaikan dan kebajikan adalah kecintaan Tuhan. Malah Tuhan bersumpah dengan diriNya bahawa Tuhan mewajikan kebajikan ke atas diriNya. Tuhan sangat mengasihi hamba-hambaNya yang melakukan dan mencintai kebajikan. Sehubungan itu untuk beramal kebajikan sebenarnya terbuka kepada sesiapa pada setiap detik. Amalan rahsia dihati tidak dapat dibaca dan dipaksa oleh sesiapa tetapi Tuhan amat mengenali dan dekat terhadap apa yang ada di dalam hati manusia. Malah Tuhan menghargai amal kebajikan dan memberi ganjarannya walau hanya baru terniat di hati.

Jadi, bulan puasa atau di bulan ramadhan sebenarnya wadah waktu terbaik untuk beramal kerana kebajikan, impak atau pahala kepada pelaku kebajikan berganda-ganda. Sehubungan dengan itu, berbahagialah orang yang berilmu dalam beramal kerana mengetahui dan menyakini bilakah amalan diberi gandaan pahala. Namun untuk beramal sebenarnya terbuka tanpa had masa dan tempat dan ini terutamanya dalam bentuk amalan hati. Amalan hati syaratnya adalah keikhlasan dan tawadhuk kepada Illahi.


Akhir sekali, tulisan ini adalah untuk Tun Sheikh sendiri dan anda jua. Harapan semoga kita mengetahui di mana kedudukan kita. Jika kita berasa kita dalam kelompok baik, maka bersyukurlah. Dan jika kita berasa kita sedang berada dalam kelompok jahat, maka beryukurlah. Kerana setidak-tidaknya kita telah mengenali kita siapa dan pada hakikatnya kita semua telah Allah beri petunjuk membeda yang mana baik dan yang mana buruk atau jahat dan kita juga sedang diperhatikan Allah Yang Maha Esa. Maka berusaha dan berikhtiarlah ke jalan kebaikan dan kebajikan yang Allah cintai.


Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere