Wednesday, February 29, 2012

Lembaga Hitam Berbulu Selongkar Makanan

Lembaga Hitam Berbulu Selongkar Makanan

Sejak disahkan mengidap penyakit kencing manis dan tinggi kolestrol, dokter menasihatkan Tun Sheikh sentiasa membawa makanan ringan dan jangan makan terlalu banyak atau mengambil makanan seperti biasa ketika makan tengahari dan makan malam. Tun Sheikh dinasihatkan supaya mengawal makanan tertentu, memastikan rehat bermutu ketika berehat dan mengurangkan 70% kuantiti pengambilan makanan daripada kebiasaan. Kadang-kadang Tun Sheikh ikut tetapi selalu mengabaikannya kerana ada kawan yang telah 15 tahun mengidap diabetis berkata boleh makan saja dengan syarat jangan terlupa makan ubat.

Setelah 4 tahun dan pada Oktober tahun lepas, Tun Sheikh dimarahi doktor kerana bacaan gula naik kepada 18.8 dan bertambah pula dengan penyakit baru iaitu darah tinggi. Dokter kata jika satu lagi penyakit datang iaitu sakit jantung, maka ketika itu sudah terlambat untuk mengawal dengan berkesan kerana jika berlaku sesuatu keadaan yang menyebabkan tekanan darah tidak stabil, Tun Sheikh boleh pingsan, koma dan meninggal dunia. Alasan Tun Sheikh dapat maklumat dari sahabat itu dibantah doktor kerana keperluan dan kesihatan seseorang individu tidak sama. Kolestrol dalam badannya normal tetapi dalam badan Tun Sheikh sudah di tahap bahaya. Tun Sheikh kena berpantang atau menjauhi makanan manis, berlemak, bersantan, berminyak, berkaborhaidrat dan lain-lain.

Sejak tahun Januari 2012, Tun Sheikh telah berpindah kerja. Kontrek membantu membuat kerja penyelidikan untuk menerbitkan buku sejarah yang dipantau oleh seorang menteri telah pun tamat setelah 6 buah penerbitan berjaya diterbitkan dalam tempuh 18 bulan. Dulu Tun Sheikh terdedah dan dapat menimba pengalaman menemubual kerabat diraja, bekas PM, menteri-menteri dan pelbagai lapisan tokoh yang bergelar mahupun sahabat handai dan saudara mara tokoh dari kalangan orang biasa.

Di tempat kerja baru, Tun Sheikh masih dalam bidang penulisan dan pengkajian mengenai sejarah tetapi lebih kepada membuat penyelidikan mencari sumber dalam perpustakaan. Tun Sheikh memang suka membaca dan berminat membuat kerja-kerja penyelidikan sejarah. Tetapi sejak Januari lepas, terpaksalah Tun Sheikh membawa ubat dan makanan ringan kemana sahaja Tun Sheikh pergi. Penyakit darah tinggi atau migeren sering menyerang Tun Sheikh jika tidak cukup tidur, hati risau, stress, lapar atau tersalah makan.

Sahabat tempat kerja, baru-baru ini juga membawa bekal makanan kerana melihat Tun Sheikh sentiasa ada makanan ringan dan jarang keluar pergi makan atau minum ketika bekerja. Kalau berehat atau terlelap memang ada tetapi selalunya berlaku selepas makan ubat diwaktu rehat makan tengahari. Selepas makan ubat, mata memang sering jadi mengantuk.Apabila melihat sahabat Tun Sheikh ini sering meninggalkan sisa atau menyimpan makanan beliau di dalam laci meja kerja semalaman, Tun Sheikh teringat pada seorang sahabat lama , Bidin yang pernah Tun Sheikh nasihat supaya menutup atau membungkus makanan yang ditinggalkan dengan kalimah-kalimah Allah atau ayat suci quran. Tetapi sahabat yang ini beragama Kritian, tersenyum sahaja ketika Tun Sheikh bercerita.

Bidin bekerja di Bank Pertanian Ibu Pejabat berhampiran dengan Daya Bumi. Beliau datang bertemu Tun Sheikh minta air jampi demam kerana terkejut . Tun Sheikh bukanlah bomoh atau pawang tetapi oleh kerana beliau pernah tinggal bersama ketika bujang dan pernah melihat kumpulan Tun Sheikh menjadi gost buster, dia yakin dan meminta bantuan Tun Sheikh.

Di tempat kerja, dia diarah menyiapkan kerja-kerja audit sehingga selesai dan terpaksa bekerja lebih masa. Seramai 20 pegawai dan kakikatangan bertungkus lumus melaksanakannya. Akhirnya semua pulang kecuali Bidin bertiga. Kerana terlalu letih dan rumah agak jauh, mereka berpakat tidur di pejabat sahaja. Setelah siap berkemas , mereka pun masuk tidur di bilik stor kosong pada pukul 2.30 pagi. Dua shabatnya terus terlelap bila kepala sampai ke kusyen kerusi yang dijadikan bantal. Bidin juga hampir terlelap tetapi terperanjat bila jam dinding dalam setor berbunyi menandakan sudah pukul 3 pagi. Sebaik saja jam berhenti berbunyi, Bidin terdengar sesuatu seperti barang atau longgokan fail jatuh dan serta-merta dia teringat fail-fail yang telah di susun di atas meja yang telah selesai dan akan digunakan esok.

Tiba-tiba dia berasa seram tidak tentu pasal dan rasa berat untuk keluar membetulkannya. Tetapi hatinya serba-salah dan rasa takut jika dimarahi besok bercampur dengan takut macam ada sesuatu di luar…hantu. Bidin terpaksa memberanikan diri dan keluar membuka pintu stornya perlahan seperti ingin mengintai terlebih dahulu tanpa membuka lampu. Bidin juga risau jika pencuri atau penceroboh kerana dalam pejabatnya memang ada menyimpan peti besi simpan duit. Setahunya tidak kurang RM50 ribu sentiasa disimpan di situ kecuali jika keesokan hari cuti. Dia mengintai dengan pelbagai perasaan sehingga berpeluh ketakutan dan kebimbangan. Jika benar peti besi diceroboh dan beliau tertangkap tentunya nahas. Atau mungkin jaga-jaga yang meronda untuk mengunci jam pengawal terlanggar timbunan fail.

Ketika dia mengintai dari pintu bilik setor tempat mereka tidur, dalam kesamaran beliau terlihat dua pasang biji mata merah dari dua tubuh susuk lembaga hitam. Hendak terkencing dibuatnya apabila Bidin melihat dan berasa yakin lembaga hitam berbulu itu adalah hantu kerana lembaga itu tidak berjalan tetapi seperti melayang dari atas satu meja ke meja lain membuka dan menutup laci-laci yang dicerobohnya. Bila lembaga itu sudah semakin hampir barulah jelas pada penglihatan Bidin apa yang dilakukan oleh lembaga hitam itu, iaitu mencari apa saja makanan dan buah-buahan yang ditinggalkan. Lembaga itu menghidu-hidu, menjilat-jilat dan memakannya. Tubuh badan bidin mengeletar dan apabila mata merah itu bertentangan dengan matanya, Bidin terus membuka lampu pejabat.

Lembaga hitam itu gaib dan sadar-sadar Bidin dikejutkan oleh pekerja yang baru sampai pejabat jam 7.00 pagi. Dua orang kawannya masih belum bangun dan Bidin tahu, dia telah pingsan tapi merahsiakanya.

Di waktu minum, Bidin pergi ke meja-meja tempat lembaga hitam itu bertenggek. Makanan dan buah-buah seperti tidak terusik tetapi berbau hapak dan ada yang hamis busuk. Peristiwa ini hanya terbongkar setahun kemudian apabila seorang kerani wanita yang membuat kerja lebih masa sehingga ke larut malam terkena histeria, terpekik terlolong menjerit ternampak lembaga hitam berbulu dan bermata merah. Nasihat Tun Sheikh…bacalah sekurang-kurangnya Bismillah apabila hendak makan dan ketika menutup atau membungkus sisa makanan yang hendak ditinggalkan. Insyaallah, makanan itu tidak akan disentuh oleh makhluk halus dan orang yang haram mengambilnya.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

No comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Dimensi
BloggerTheme by BloggerThemes | Design by 9thsphere