Thursday, June 7, 2012
Dimensi Futuristik Politik Melayu Sejagat
Wednesday, February 29, 2012
Lembaga Hitam Berbulu Selongkar Makanan
Sejak disahkan mengidap penyakit kencing manis dan tinggi kolestrol, dokter menasihatkan Tun Sheikh sentiasa membawa makanan ringan dan jangan makan terlalu banyak atau mengambil makanan seperti biasa ketika makan tengahari dan makan malam. Tun Sheikh dinasihatkan supaya mengawal makanan tertentu, memastikan rehat bermutu ketika berehat dan mengurangkan 70% kuantiti pengambilan makanan daripada kebiasaan. Kadang-kadang Tun Sheikh ikut tetapi selalu mengabaikannya kerana ada kawan yang telah 15 tahun mengidap diabetis berkata boleh makan saja dengan syarat jangan terlupa makan ubat.
Setelah 4 tahun dan pada Oktober tahun lepas, Tun Sheikh dimarahi doktor kerana bacaan gula naik kepada 18.8 dan bertambah pula dengan penyakit baru iaitu darah tinggi. Dokter kata jika satu lagi penyakit datang iaitu sakit jantung, maka ketika itu sudah terlambat untuk mengawal dengan berkesan kerana jika berlaku sesuatu keadaan yang menyebabkan tekanan darah tidak stabil, Tun Sheikh boleh pingsan, koma dan meninggal dunia. Alasan Tun Sheikh dapat maklumat dari sahabat itu dibantah doktor kerana keperluan dan kesihatan seseorang individu tidak sama. Kolestrol dalam badannya normal tetapi dalam badan Tun Sheikh sudah di tahap bahaya. Tun Sheikh kena berpantang atau menjauhi makanan manis, berlemak, bersantan, berminyak, berkaborhaidrat dan lain-lain.
Sejak tahun Januari 2012, Tun Sheikh telah berpindah kerja. Kontrek membantu membuat kerja penyelidikan untuk menerbitkan buku sejarah yang dipantau oleh seorang menteri telah pun tamat setelah 6 buah penerbitan berjaya diterbitkan dalam tempuh 18 bulan. Dulu Tun Sheikh terdedah dan dapat menimba pengalaman menemubual kerabat diraja, bekas PM, menteri-menteri dan pelbagai lapisan tokoh yang bergelar mahupun sahabat handai dan saudara mara tokoh dari kalangan orang biasa.
Di tempat kerja baru, Tun Sheikh masih dalam bidang penulisan dan pengkajian mengenai sejarah tetapi lebih kepada membuat penyelidikan mencari sumber dalam perpustakaan. Tun Sheikh memang suka membaca dan berminat membuat kerja-kerja penyelidikan sejarah. Tetapi sejak Januari lepas, terpaksalah Tun Sheikh membawa ubat dan makanan ringan kemana sahaja Tun Sheikh pergi. Penyakit darah tinggi atau migeren sering menyerang Tun Sheikh jika tidak cukup tidur, hati risau, stress, lapar atau tersalah makan.
Sahabat tempat kerja, baru-baru ini juga membawa bekal makanan kerana melihat Tun Sheikh sentiasa ada makanan ringan dan jarang keluar pergi makan atau minum ketika bekerja. Kalau berehat atau terlelap memang ada tetapi selalunya berlaku selepas makan ubat diwaktu rehat makan tengahari. Selepas makan ubat, mata memang sering jadi mengantuk.Apabila melihat sahabat Tun Sheikh ini sering meninggalkan sisa atau menyimpan makanan beliau di dalam laci meja kerja semalaman, Tun Sheikh teringat pada seorang sahabat lama , Bidin yang pernah Tun Sheikh nasihat supaya menutup atau membungkus makanan yang ditinggalkan dengan kalimah-kalimah Allah atau ayat suci quran. Tetapi sahabat yang ini beragama Kritian, tersenyum sahaja ketika Tun Sheikh bercerita.
Bidin bekerja di Bank Pertanian Ibu Pejabat berhampiran dengan Daya Bumi. Beliau datang bertemu Tun Sheikh minta air jampi demam kerana terkejut . Tun Sheikh bukanlah bomoh atau pawang tetapi oleh kerana beliau pernah tinggal bersama ketika bujang dan pernah melihat kumpulan Tun Sheikh menjadi gost buster, dia yakin dan meminta bantuan Tun Sheikh.
Di tempat kerja, dia diarah menyiapkan kerja-kerja audit sehingga selesai dan terpaksa bekerja lebih masa. Seramai 20 pegawai dan kakikatangan bertungkus lumus melaksanakannya. Akhirnya semua pulang kecuali Bidin bertiga. Kerana terlalu letih dan rumah agak jauh, mereka berpakat tidur di pejabat sahaja. Setelah siap berkemas , mereka pun masuk tidur di bilik stor kosong pada pukul 2.30 pagi. Dua shabatnya terus terlelap bila kepala sampai ke kusyen kerusi yang dijadikan bantal. Bidin juga hampir terlelap tetapi terperanjat bila jam dinding dalam setor berbunyi menandakan sudah pukul 3 pagi. Sebaik saja jam berhenti berbunyi, Bidin terdengar sesuatu seperti barang atau longgokan fail jatuh dan serta-merta dia teringat fail-fail yang telah di susun di atas meja yang telah selesai dan akan digunakan esok.
Tiba-tiba dia berasa seram tidak tentu pasal dan rasa berat untuk keluar membetulkannya. Tetapi hatinya serba-salah dan rasa takut jika dimarahi besok bercampur dengan takut macam ada sesuatu di luar…hantu. Bidin terpaksa memberanikan diri dan keluar membuka pintu stornya perlahan seperti ingin mengintai terlebih dahulu tanpa membuka lampu. Bidin juga risau jika pencuri atau penceroboh kerana dalam pejabatnya memang ada menyimpan peti besi simpan duit. Setahunya tidak kurang RM50 ribu sentiasa disimpan di situ kecuali jika keesokan hari cuti. Dia mengintai dengan pelbagai perasaan sehingga berpeluh ketakutan dan kebimbangan. Jika benar peti besi diceroboh dan beliau tertangkap tentunya nahas. Atau mungkin jaga-jaga yang meronda untuk mengunci jam pengawal terlanggar timbunan fail.
Ketika dia mengintai dari pintu bilik setor tempat mereka tidur, dalam kesamaran beliau terlihat dua pasang biji mata merah dari dua tubuh susuk lembaga hitam. Hendak terkencing dibuatnya apabila Bidin melihat dan berasa yakin lembaga hitam berbulu itu adalah hantu kerana lembaga itu tidak berjalan tetapi seperti melayang dari atas satu meja ke meja lain membuka dan menutup laci-laci yang dicerobohnya. Bila lembaga itu sudah semakin hampir barulah jelas pada penglihatan Bidin apa yang dilakukan oleh lembaga hitam itu, iaitu mencari apa saja makanan dan buah-buahan yang ditinggalkan. Lembaga itu menghidu-hidu, menjilat-jilat dan memakannya. Tubuh badan bidin mengeletar dan apabila mata merah itu bertentangan dengan matanya, Bidin terus membuka lampu pejabat.
Lembaga hitam itu gaib dan sadar-sadar Bidin dikejutkan oleh pekerja yang baru sampai pejabat jam 7.00 pagi. Dua orang kawannya masih belum bangun dan Bidin tahu, dia telah pingsan tapi merahsiakanya.
Di waktu minum, Bidin pergi ke meja-meja tempat lembaga hitam itu bertenggek. Makanan dan buah-buah seperti tidak terusik tetapi berbau hapak dan ada yang hamis busuk. Peristiwa ini hanya terbongkar setahun kemudian apabila seorang kerani wanita yang membuat kerja lebih masa sehingga ke larut malam terkena histeria, terpekik terlolong menjerit ternampak lembaga hitam berbulu dan bermata merah. Nasihat Tun Sheikh…bacalah sekurang-kurangnya Bismillah apabila hendak makan dan ketika menutup atau membungkus sisa makanan yang hendak ditinggalkan. Insyaallah, makanan itu tidak akan disentuh oleh makhluk halus dan orang yang haram mengambilnya.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Saturday, October 29, 2011
Jangan Kahwin Dengan Orang Yg Taksub Kepada Bomoh
Jangan Kahwin Dengan Perempuan Atau Lelaki Yang Keluarganya Taksub Kepada Bomoh
Rina seorang gadis kampung di Johor berasal dari sebuah keluarga yang taksub kepada bomoh. Bapanya pernah menjadi orang tengah mendapatkan perkhidmatan bomoh kepada beberapa orang politik UMNO ketika piliharaya. Kemewahan ahli politik telah mempengaruhi ibubapanya untuk mengahwinkan Rina dengan pemimpin UMNO. Tetapi tiada ahli politik yang masih bujang disukai oleh bapanya kerana mereka masih tidak stabil dan terumbang-ambing kewangannya. Manakala tiada pula ahli politik yang kaya dan mewah meminati Rina kecuali yang telah beristeri dua atau tiga tetapi tidak direstui oleh kedua orang tuanya.
Rina ialah anak sulung daripada lima beradik dan mempunyai raut wajah dan tubuh yang menarik dan cantik. Malangnya tanpa disedari ibubapanya yang suka bertandang ke rumah bomoh, kecantikan Rina dianggap pemuda kampung dan yang mengenali keluarganya adalah tidak asli kecuali hasil memakai susuk. Cerita keluarga Rina yang begitu taksub kepada bomoh cepat tersebar di tempat Rina bekerja di Johor Bahru kerana ramai orang kampungnya bekerja di pejabat yang berhampiran dengan Rina malah ada tiga orang kawan-kawan kampungnya yang sepejabat dengan Rina.
Apabila ramai sahabat sebaya bertemu jodoh, Rina berasa tertekan. Teman-teman lelaki yang menyukainya pula dirasanya tidak serius kecuali ingin mengambil kesempatan dan ada yang ingin menguji ilmu penunduk mereka samada boleh memikat Rina yang disangka memakai susuk atau saka keluarga. Ada yang sanggup menguar-uarkan fitnah mengaku telah meniduri Rina dan ada juga yang berterusterang gagal memikat Rina kerana susuk atau saka Rina dikatakan lebih hebat. Hal Rina mendapat ikon sebagai seorang gadis yang cantik kerana susuk atau saka telah menjadikan Rina berada dalam dilemma.
Akibat dari cerita tentang keluarga dan kecantikannya itu telah menjauhkan diri pemuda yang betul-betul ingin mencari jodoh daripada Rina. Akhirnya Rina bertindak dengan istilah tangkap muat dan pernah bertunang sebanyak tiga kali tetapi setelah hampir dengan tarikh pernikahan, bapanya telah memutuskan pertunangan itu di luar pengetahuan Rina dengan alasan mereka tidak sesuai kerana kewangan mereka tidak stabil. Rina dipengaruhi malah sebagai syarat agar mencari yang berharta jika ingin berkahwin dan ingin mencari jodohnya sendiri.
Ketika usia Rina menjangkau 30 tahun, dia telah diperkenalkan oleh kawannya kepada seorang ustaz yang dipercayai boleh memulihkan saka. Rina telah mencurahkan segala isi hati dan rahsia peribadinya kepada Ustad Md Noor yang berusia 10 tahun tua daripadanya. Akhirnya Rina telah jatuh hati dengan ustaz yang berusaha memulihkannya dengan memberi nasihat agama dan perubatan Islam. Sedang Ustaz Md Noor dengan bantuan isterinya berusaha mengubati Rina, Rina telah sengaja bertindak nekad menggoda dan menyerahkan mahkotanya kepada ustaz beranak 6 itu tetapi ditolak dengan baik . Rina terus mengoda ustaz walau didepan isterinya dan mengancam akan membunuh diri, jika hajat dan keinginannya ditolak. Kerana tidak tertahan dengan kerenah Rina dan bagi mengelak fitnah, isteri Ustad Md Noor mengizinkan suaminya bernikah dengan Rina. Beliau sejak awal telah mengesan bahawa bukanlah susuk atau saka yang menguasai atau mempengaruhi Rina tetapi adalah keperibadian dan perangai Rina sendiri yang terbentuk hasil didikan ibubapanya.
Ibubapa Rina tidak bersetuju dengan jodoh pilihan anak gadisnya itu tetapi kerana Rina mengancam akan membunuh diri jika kehendaknya tidak diikuti, ibubapanya terpaksa mengikut dengan rasa dendam kepada Ustad Md Noor. Mereka menyangka dan percaya bahawa Ustad Md Noor telah menggunakan ilmunya untuk memikat anak gadisnya yang cantik tanpa mempercayai bahawa Rina sendiri yang berakhlak buruk.
Setelah bernikah, ibubapa Rina terus berikhtiar mencari bomoh bagi menundukkan Ustad Md Noor. Kerap kali juga ustad mengadu kepada Tun Sheikh bahawa beliau kadang kala mengidap penyakit pening yang tiba-tiba tanpa sebab dan punca. Apabila dibacanya surah lazim, penyakitnya itu hilang. Beliau kerap juga berasa jari-jari tangan dan kakinya seperti ditusuk jarum malah beliau pernah berhadapan dengan jin saka keluarga Rina berkepala separuh ular separuh manusia berwajah ibu Rina, mencabar Md Noor di alam gaib. Beliau percaya dirinya diserang oleh makhluk gaib sehingga terbawa-bawa dalam mimpi dan igauan. Pelindung dan amalan beliau hanyalah berserah dengan Allah dan zikirullah.
Tun Sheikh hanya berpesan kepada beliau bahawa disebabkan amalan beliau sejalan dengan syariat Islam maka usah terkejut atau bermasalah apabila mendapati apa-apa yang dihantar secara gaib itu akan kembali kepada penghantar dan keluarganya atau kepada Rina sendiri. Contohnya jika benda pembenci dihantar dan gagal kerana kita mengamalkan pendinding yang diajar Rasulullah saw maka akan balik kepada tuannya dan dia yang membenci kita. Ini diakui oleh Ustad Md Noor kerana Rina begitu liat hendak bersolat dan menjauhkan dirinya di tempat tidur seolah-olah membenci suami di samping sangat menyombong diri, kebersihan dan kemasan rumah yang tidak teratur dan lintang pukang serta pemalas.
Nasihat Tun Sheikh kepada anak-anak muda di luar sana agar menyiasatlah diri perempuan atau lelaki yang ingin dikahwini samada keluarganya pengamal ilmu bomoh, sihir atau mempunyai saka yang pelik-pelik atau anih yang tidak mengikut syariat agama dan sebagainya kerana memang dasar jin dan syaitan jika tidak dapat bapa atau ibu, maka anak dan keturunan mereka akan dipulaskan. Untuk mudah faham adalah lebih baik usah berkahwin dengan mereka jika kita sendiri kurang mantap ilmu tauhid kerana anda akan menjadi mangsa dan gangguan saka mereka sampai ke anak cucu. Syaitan akan terus berusaha tanpa putus asa mengganggu untuk menyesatkan kita sehingga ke anak cucu.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Tanjung Balau, Kota Tinggi Johor.
Saturday, August 27, 2011
Orang Tua Yang Jahat Atau Baik?
"Sheikhhh!! Bangun!!". Terkejut Tun Sheikh dan terasa bingit telinga dijerit sedemikian rupa. Baru saja tersentap kerana teriakan itu, telefon pula berdering-dering tidak mahu berhenti meskipun dibiarkan. Sepatutnya sudah senyap kerana dibiar lama dan tentu dipindah kepada pesanan suara pemanggil. Tetapi ia terus berdering menandakan pemanggil dalam kecemasan atau ada perkara yang sangat penting yang mendesak dan terdesak. Tun Sheikh masih terpinga-pinga kerana rupa-rupanya tersentap dan terjaga dari tidur oleh sebuah jeritan amaran yang amat keras. Kepala masih mamai. Belum sempat Tun Sheikh berkata hello... tiba-tiba dari dalam telefon itu terdengar suara yang sama, perkataan yang sama dan oleh orang yang sangat Tun Sheikh kenal. "Sheikhhhh!! Bangun!!....Sheikhhh!! Bangun..!!!.." terus Tun Sheikh jawab , "yayaya.." tetapi sebaik saja mamai hilang dan belum sempat nak cakap banyak yayaya lagi selain yayaya yang pertama itu, suara dalam telefon itu terus suruh dengan nada membentak," pergi ambil wudhu sekarang!!," Lepas saja kata "ya..." dia kata.." lepas berwudhu telefon balik!".
Tun Sheikh pun terus ke bilik mandi. Baru sahaja hendak melangkah masuk, kedengaran pula azan magrib yang amat jelas dan kuat sebab rumah Tun Sheikh berhadapan surau dan hanya dipisahkan oleh sebuah jalan taman. Rumah Tun Sheikh betul-betul menghadap surau. Seruan azan itu memang begitu kuat sekali dan begitu juga tinggi nada jeritan yang panggil nama Sheikh tadi suruh Tun Sheikh bangun dan pergi ambil wuduk kemudian suruh telefon semula segera.
Bila sudah azan, tak jadi Tun Sheikh masuk berwuduhuk kecuali kembali semula ke kamar mengambil tuala untuk mandi seperti biasa dan tentunya badan akan bertambah segar. Tetapi pada petang itu hati Tun Sheikh tertanya-tanya dari mula hendak melangkah masuk berwudhu sampai kembali ke bilik mengambil tuala dan sehingga selesai mandi dan berwudhu, terhadap peristiwa pelik ini. Apabila diingat-ingat, sebenarnya ketika itu Tun Sheikh sedang tidur dan sedang bermimpi lalu terdengar panggilan atau jeritan dari Pakku, seorang tua, kenalan, sahabat, bapa angkat, guru gost buster dan juga seguru dengan Tun Sheikh ketika berlajar tasauf dan setarekat.
Tun memang sangat menghormatinya kerana banyak Tun Sheikh dapat pengalaman terutama mengenai alam gaib ketika bersama atau ketika mengikut beliau mengusir makhluk gaib atau halus yang mengganggu sama ada yang merasuk seseorang atau dalam rumah atau pada tempat-tempat tertentu seketika dahulu. Tun Sheikh tertanya-tanya dan cuba mengingatkan apa yang Tun Sheikh mimpi tadi. Bila Tun sudah siap mandi dan berwudhuk, Tun Sheikh pun telefon Pak Engku lalu terus dia tanya mengapa tidur waktu azar menjelang senja. Tun Sheikh sebenarnya telah terlelap selepas keluar buang air besar dan badan tidak sihat kerana cirit-birit. Tetidur pun dalam keadaan tidak sempurna, tidak berwudhuk dan dengan seluar pendek tidak berbaju.
Tun Sheikh pun ceritalah kepada Pak Engku dan dalam mimpi itu Tun Sheikh bermimpi satu lembaga hitam manusia yang sangat besar setinggi pokok kelapa, badan berbulu dan bermata merah telah masuk dalam bilik Tun Sheikh. Dalam mimpi itu Tun Sheikh nampak lembaga itu macam terbang dan melompat laju dari pohon ke sepohon sehinggalah terus melompat masuk ke dalam bilik yang mengadap belukar di belakang rumah sewa Tun Sheikh di Johor Bahru. Tun Sheikh terkejut dan tidak terkata malah mulut tidak boleh buka dan lidah terkelu. Segala pergerakan macam kaku kena ikat. Hairannya, Tun Sheikh tidak berasa takut atau menggigil tetapi seperti tertanya-tanya dan ingin tahu siapdia sebenarnya.
Apa yang diperkatakan oleh Lembaga itu amat jelas dan kerana Tun Sheikh memang suka dan ingin tahu tentang alam dan perkampunagan gaip seperti perkampung orang bunian, kota, pekan dan sebagainya, lembaga itu telah menghulur tangan suruh Tun Sheikh pegang sambil mengajak pergi ke tempatnya. Baru sahaja terasa tangan yang kaku itu bebas boleh bergerak dan diangkat tetapi belum sempat Tun Sheikh hendak mencapai tangan lembaga hitam itu, satu teriakan yang sangat membingitkan iaitu yang memanggil nama Tun Sheikh tadi pun kedengaran sehingga terjaga daripada tidur rupa-rupanya.
Pak Engku bertanya mengapa saya seperti bersetuju hendak pergi dan kenapa tidak mencabar atau bertanya atau melawan siapa gerangan lembaga hitam besar dan bertubuh sasa berbulu-bulu itu. Pak Engku kata itu penghulu Jin malah sangat handal dalam persilatan tetapi ilmunya bercampur baur dengan islam dan kafir kerana dia adalah ketua panglima kaum jin yang ada di kawasan hutan Kempas. Nasib baik Tun Sheikh tidak sempat mengikut pergi, jika tidak sangat susah hendak kembali atau dicari kerana Tun Sheikh sendiri suka untuk pergi. Tun Sheikh bertanya macam mana Pak Enggku tahu itu semua. Belaiu kata beliau tidak tahu dan tidak merencana atau merancang kecuali tiba-tiba tergerak arasa di hatinya bahawa Tun Sheikh sedang dalam bahaya. Ketika itu beliiau sedang berzikir sementara menunggu waktu magrib. Dia tiba-tiba menjerit menamggil nama Tun Sheikh dan suruh bangun. Setelah itu beliau berasa zikirnya terganggu dan berhenti lalu terus menelefon berkali-kali sehingga Tun Sheikh menjawabnya.
Beliau kemudian mengingatkan Tun Sheikh jangan lalai dan hendaklah terus menjaga wudhu walaupun dalam uzor atau tidak sihat mahupun sakit. Jangan putus zikir dan mengingatkan bahawa makhluk itu akan datang lagi kerana dia berminat dan suka pada Tun Sheikh tetapi dia a hanya mahu dirinya menjadi tuan kepada Tun Sheikh. Pak Engku suruh berdoa semoga Allah memelihara keselamatan Tun Sheikh dan hanya diberi pengetahuan gaib dalam keadaan kita yang menguasainya dan mendapat atau berguru mengenai ilmu gaib itu dari guru murshid dari kalangan manusia yang nyata alim, berilmu dan beramal. Beliau melarang berguru dari penghulu jin atau makhluk halus.
Pada hari ketujuh puasa lepas, sekali lagi Tun Sheikh dikejutkan sebegitu rupa dan diikuti dengan deringan telefon. Pak Engku bertanya khabar sebab hatinya tiba-tiba teringatkan Tun Sheikh dan rasa tidak sedap. Tun rasa macam buka kebetulan lagi kerana ketika itu Tun Sheikh sedang demam dan sakit kepada di awal-awal minggu berpuasa. Tun Sheikh seperti mamai dan kepala pening dan melayang kemudiaan diikuti oleh denyutan yang sangat kuat 3 hingga 5 jam sebab lapar dan disebabkan penyakit kencing manis yang baru Tun Sheikh hidapi. Pak Engku memesan, walaupun bulan puasa, dan hanya syaitan penggoda yang dirantai tetapi jin yang sebangsa dengan syaitan sama ada kafir atau Islam tidak dirantai dan mereka ada kekuatan dan kuasa yang diizinkan Allah menyebabkan manusia boleh merasa kesakitan dari perbuatan yang mereka lakukan. Jika kita tidak mempunyai perlindungan keselamatan diri berupa pagar gaib daripada amalan zikir dan kebiasaan membaca surah-surah dan ayat suci al quran yang tertentu maka mudahlah kita ganggu.
Selepas bercakap dengan Pak Engku dan membaca surah-surah ayat lazim yang pendik dan mudah, denyutan kepala pun hilang. Tun Sheikh yakin itu adalah gangguan jin. Pak Engku banyak menolong Tun Sheikh menyelesaikan masalah alam gaib terutamanya berkenaan alam jin. Sejak berkenalan dengan beliau pada tahun 1989 sehingga sekarang tidak pernah beliau mengajak, mengajar atau suruh membuat perkara-perkara fasik dan bathil malah beliau mengingatkan bahawa taksub kepada seseorang akan mendorong kepada kesyirikan dan sangat-sangat melarangnya. Tun Sheikh sering teringat maksud hadis nabi yang mengatakan bahawa apabila seseorang itu hanya memperkatakan yang baik, suka mendengar yang baik dan suka melihat yang hak dan baik dan melakukan perkara yang baik, maka jadilah saksi bahawa orang itu memang tergolong dari orang yang baik di sisi Allah.
Semoga kita semua memilih dan dikelilingi dengan orang yang baik-baik seperti Pak Engku dan jangan lupa kita akan sentiasa diganggu oleh jin sama ada jin Islam, jin kafir dan syaitan apabila kita lalai. Peliharalah kami dan jadikan kami sebagai hamba yang sentiasa dalam pandanganmu ya Allah. Amin ya rabal Alamin.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Wednesday, March 30, 2011
Paku Di Kepala Itu Milik Aku
Dakwahmu Gagal Melerai Simpul Kesesatan
Tun Sheikh masih dalam dimensi. Kali ini ingin Tun Sheikh menukilkan pengalaman yang patut sama-sama kita fikirkan bagaimana peranan tentera syaitan kepada manusia yang gelojoh dengan keduniaan. Syaitan sungguh bijak berselindung dari pelbagai alasan dan bijak memujuk hati-hati yang tidak diisi dengan ketawadhukan dan kesyukuran kepada yang berhak. Syaitan tidak malu menipu dan beria-ia bersumpah bahawa mangsanya telah mengikat janji dan tiada hak lagi orang lain untuk campurtangan untuk menghapus dan membatalkan atau menyelamatkan mangsa gangguan syaitan itu. Namun yakinilah, selagi kita bernafas dan nyawa sendiri belum sampai ke kerongkongan maka kita masih berpeluang untuk menyelamatkan diri sendiri atau membantu menyelamatkan saudara seagama kita mahupun orang yang lain agama dengan izin Allah jua.
Haji Manaf seorang yang agak warak dan mempunyai keluarga yang ramai. Dia adalah pesara kerajaan dan menjadi siak di sebuah masjid di Selayang. Beliau tidaklah begitu daif tetapi pernah merungut kerana sampai ke usia tua tidak pernah merasai kemewahan. Suatu hari para sahabat dan jemaah terperanjat beliau berbelanja sakan dan banyak menderma sehingga dijangkakan diluar kemampuannya. Rupa-rupanya apabila disiasat dengan baik oleh sahabat baiknya, beliau telah menang loteri hasil daripada mimpinya bertemu dengan seorang tua yang anih menyuruh dia membeli loteri.
Para jemaah percaya dan yakin, Haji Manaf akan mendengar nasihat mereka kerana beliau bukan jenis orang yang bernafsu atau berselera besar. Walaupun sudah tiga bulan Haji Manaf sempat bergaya dengan merahsiakan punca perolehan kewangannya dan sempat melancong ke negara jiran, beliau akur dengan nasihat ikhlas para sahabat dan sejemaah masjid yang bertemu dengannya setiap hari. Haji Manaf meskipun kelihatan berat hati tetapi beliau telah menyerahkan semua baki wang loteri kepada pihak masjid untuk disalurkan ke tempat yang betul. Tiga hari setelah penyerahan baki duit loteri itu, beliau mengidap sakit kepala yang amat sangat. Pada mulanya para sahabat menyangka Haji Manaf terlalu banyak memikirkan, atau berasa menyesal dengan perbuatannya itu. Ada juga yang menduga beliau menyesal membeli loteri dan sempat membelanjakannya dan menikmati kemewahan selama tiga bulan. Pelbagai persepsi dan dugaan yang kedengaran termasuk ada yang mengatakan Haji Manaf bodoh dan menolak rezki.
Dalam usaha dan ikhtiar keluarganya mendapatkan rawatan untuk Haji Manaf, mereka berasa buntu. Ini adalah kerana doktor pakar juga tidak dapat mengesan dan mengenal pasti apakah punca sebenarnya sakit kepala yang menyerang Haji Manaf. Sebahagian daripada keluarganya ada yang menuding pihak jemaah masjid kerana berdiam diri dan tidak ada siapa yang membantu menghulurkan perbelanjaan rawatan. Akhirnya Haji Manaf dibawa mendapatkan rawatan tradisional. Beberapa orang pengamal rawatan tradisional mendakwa Haji Manaf telah disihir dan ada yang mengatakan ada sebatang paku telah dipaku di kepalanya oleh pawang Cina atau hantu Cina.
Kumpulan kami yang diketuai oleh Tokku Raja telah diminta untuk membantu. Ketika kami sedang berzikir, Haji Manaf mula meracau dengan mengatakan kami tidak akan berjaya kerana paku di kepala Haji Manaf adalah milik hantu wayang Cina berpangkat raja. Bila ditanya siapakah yang berkata-kata itu, entiti yang merasuk Haji Manaf memperkenalkan diri sebagai kadam suruhan seorang pawang besar yang mengubati Haji Manaf. Entiti itu mengaku sedang berbincang dengan hantu wayang Cina itu supaya bersetuju mencabut paku miliknya di kepala Haji Manaf. Apabila ditanya apakah pemilik paku itu bersetuju, entiti itu memberitahu kami bahawa hantu wayang cina itu tidak mahu berkompromi. Dia telah menunaikan permintaan Haji Manaf untuk kaya dan mendakwa Haji Manaf telah berjanji tidak akan bekerja di Masjid sebagai siak.
Tokku Raja telah meminta kadam itu pergi kerana tidak perlu mendampingi Haji Manaf lagi jika hantu wayang cina itu sendiri tidak mahu mendengar dan menurutinya. Persengketaan antara mereka biasanya akan dideritai oleh pesakit. Apa yang kami faham, hantu wayang Cina yang berpangkat raja memang tidak pernah beralah atau tunduk dengan kadam-kadam bawahan. Jika kadam pawang atau bomoh tidak berpangkat raja atau setanding dengan mereka, maka mereka akan diusir dan diherdik malah akan didera. Jika taraf mereka sama, mereka juga akan bergaduh sesama sendiri dan diri pemilik tubuh yang menderita.
Kami terus saja berzikir dan hantu wayang cina itu berjanji akan pergi. Haji Manaf pun pulih walaupun dalam keadaan keletihan. Tiga hari kemudian, penyakit kepala Haji Manaf berulang kembali dan apabila kami datang berzikir, beliau pun pulih dan apabila kami balik, beliau diserang semula. Akhirnya Tokku Raja mengancam akan membakar perkampungan mereka dan hal ini di dengari oleh keluarga Haji Manaf. Tanpa pengetahuan kami, mereka telah pergi bertemu bomoh Cina di kuil Budha berdekatan . Mereka telah dibekalkan air hujan yang terdapat dalam kolam di kuil itu untuk memandikan Haji Manaf. Dengan sekali mandi Haji Manaf pulih seperti sediakala. Haji Manaf menganggap musibah itu adalah dugaan kepadanya dan beliau amat kesal kerana semenjak daripada itu banyak ahli keluarga beliau telah merujuk bomoh Cina itu apabila berasa sakit dan mengesyaki penyakit itu daripada gangguan makhluk halus.
Apabila ditanya kepada Tokku Raja, beliau berkata semasa beliau berinteraksi dengan hantu wayang cina itu, hantu itu mencabarnya dengan mengatakan iman itu adalah ketetapan tuhan. Aku akan mengambil semula paku milikku di kepala Manaf kerana kamu semua mengganggu kerja-kerja aku. Tetapi kamu akan melihat keluarga Manaf akan berjaya aku pengaruhi.
Kami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menasihatkan seluruh keluarga Haji Manaf supaya memohon perlindungan daripada Allah dan itu adalah terserah kepada mereka.Kami difahamkan bahawa tidak kiralah apa nama hantu yang dipakai, sebenarnya makhluk itu adalah syaitan.Syaitan berupaya mengganggu kita dan kemudian berpura-pura merawat dan kemudian memulihkan. Tetapi jika kita sentiasa berzikir mengingati Allah dan memohon perlindungan Allah daripada segala musibah dan kuasa syaitan maka tidak ada hak dan kuasa syaitan untuk mengganggu kita kerana mereka akan terbunuh dengan kuasa Allah. Sudah pasti mereka tidak mahu mati sehingga hari kiamat.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Monday, February 7, 2011
Saka, Qorin dan Dunia Nyata
Jin & Syaitan Wujud Sampai Kiamat Walau Dunia Moden
Awal tahun 2011 atau pada minggu kedua Januari lalu, Tun Sheikh sibuk melayan tetamu misteri setelah mengurus persekolahan anak-anak di minggu pertama. Tetamu yang dimaksudkan ialah seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun yang memperkenalkan diri sebagai Kasnah daripada keturunan Sultan Husin Singapura, dibesarkan di Muar Johor juga berketurunan Kiai Salleh yang terkenal itu dari sebelah bapa dan sampai kepada Syarif Hidayahtullah Cerebon di sebelah ibu. Beliau mencari Tun Sheikh melalui blog ini setelah mengaku bermimpi mendapat arahan gaib dari seorang tua berserban. Orang tua itu juga pernah mengunjunginya di alam nyata ketika beliau terlantar di hospital kerana mengidap penyakit buah pinggang tetapi orang lain tidak nampak kecuali Kasnah. Orang tua itu menasihatkan beliau mencari seseorang yang mempunyai darah keturunan Sunan Gunung Jati Cerebon yang tinggal di Kuala Lumpur dan berulang alik ke Johor. Setelah dapat mengesan dan dapat menghubungi Tun Sheikh melalui internet, beliau menjemput datang ke rumahnya di Damansara berkenalan dengan keluarga dan suaminya dengan niat menyambung sirahturahim seketurunan.
Apabila ditanya apakah hajat sebenarnya, beliau menceritakan bahawa beliau mengidap penyakit yang pelik dipercayai terkena santau atau disihir oleh mereka yang dengki. Pada mulanya serangan itu tidak diendahkan dan telah tertuju kepada suami beliau seorang berbangsa Jerman berusia 62 tahun. Suaminya lumpuh dan terlantar hampir setahun. Beliau telah menjaganya dengan baik tetapi setelah suaminya sihat beliau pula menghidapinya dan beliau anggap sebagai penyakit misteri. Ini adalah kerana sebelum beliau diserang penyakit tersebut lelaki tua berserban serba putih itu telah beberapa kali datang dalam mimpi menasihati beliau supaya berjaga-jaga. Kasnah disihir kawan-kawannya kerana beliau bersikap sombong dan angkuh. Kawan-kawannya juga berasa dengki dan cemburu terhadap kejayaan beliau. Akibat dari serangan itu beliau mengidap sakit perut dan sakit pinggang.
Orang tua itu mengaku telah mendampingi Kasnah sejak kecil lagi tetapi Kasnah tidak ambil peduli atau ambil tahu atau tidak pasti apa yang dilaluinya kerana tidak percaya kepada benda gaib. Kasnah memberitahu Tun Sheikh bahawa orang tua itu ada juga suku sakat atau keluarga gaibnya. Mereka tidak suka kepada suami Kasnah seorang Jerman walaupun telah menganut Islam tetapi tidak mengamalkan syariat Islam. Mereka dipulaukan oleh jiran-jiran Melayu kerana memelihara anjing di rumah dan dituduh mengamalkan hidup cara Barat.
Apabila Tun Sheikh menyiasat asal-usul keturunannya dan bertemu dengan ibunya yang baru datang dari Singapura dan tinggal di Jakarta, maka jelaslah jalur darah dan pertemuannya dengan darah keturunan Tun Sheikh sendiri. Setelah mengetahui matlmat mereka, Tun Sheikh telah membuat solat hajat memohon petunjuk apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana membantu mereka. Dalam usaha dan ikhtiar Tun Sheikh, Tuhan telah mempermudahkan melalui penceritaan Kasnah dan ibunya sendiri. Mereka berdua sebenarnya bertelingkah kerana ibu Kasnah baru saja menemui Kasnah untuk menjaganya apabila mendengar Kasnah sakit dan lumpuh di Kuala Lumpur. Kasnah dibesarkan oleh keluarga bapanya di Muar yang tidak mempunyai anak perempuan tetapi tidak memakai istilah anak angkat kecuali anak pinjaman. Kasnah sebenarnya menghadapi konflik jiwa dan membawa haluan sendiri. Beliau berkecil hati kepada ibu kandungnya kerana telah meminjamkan dirinya untuk dipelihara oleh adik perempuan kepada bapanya di Muar.
Beliau telah melanjutkan pelajaran ke UiTM dan ke Jerman kemudian berkahwin di sana. Kasnah tidak suka menghubungi keluarga angkat atau emak saudaranya sendiri kerana mereka telah merampas harta pusaka bapanya di Muar atas alasan membiaya membesarkan Kasnah. Kecekalan dan ketabahan Kasnah telah membentuk keperibadian diri sebagai seorang yang tegas dan berkeyakinan tinggi. Sayangnya perasaan sombong dan bangga diri telah menguasai dirinya tanpa dia sedari. Beliau berjaya menubuhkan sebuah syarikat di Jerman dan enggan balik ke Malaysia. Kasna pernah berubat secara tradisional tetapi gagal kerana keluarganya mempunyai keistimewaan diri selaku pewaris dan pengamal ilmu Panglima Salleh. Beliau yang tidak percaya kepada hal atau kuasa gaib telah memperlekeh mereka dengan cara membuktikan kebolehan beliau dalam pelajaran dan perniagaan koperat. Jika sakit, beliau merujuk doktor pakar. Beliau sangat berbangga diri sebagai seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya dan menjadi orang berada pada usia yang masih muda.
Meskipun Kasnah tidak mempedulikan hal gaib, beliau terus terganggu dengan perkara-perkara yang pelik. Kasnah telah berterus-terang bahawa permintaannya terhadap Tun Sheikh bagi menjelaskan keadaan yang sedang dihadapinya ini juga adalah atas nasihat orang tua yang misteri itu. Antara peristiwa ganjil beliau ialah dihadiahkan dengan seutas tasbih dengan lambang kepala ular dalam mimpi dan ketika jaga dari tidur, beliau mendapati tasbih itu berada di atas perutnya. Pembantunya pula telah menjerit kerana terlihat seekor ular sawa besar yang aneh sedang berlegar-legar di pintu rumahnya di Damansara. Kasnah juga diarah ke Brunai dan Beijing menziarahi makam tertentu dan telah dilakukannya sebagai menunaikan hajat untuk kesembuhan suaminya. Ketika di Beijing, kunci makam telah terbuka dengan sendirinya apabila Kasnah membaca Fatihah yang disuruh oleh orang tua misteri itu. Begitu juga di Brunai, beliau telah dihadiahkan sebilah keris di sebuah makam setelah rombongannya membuat tahlil. Beliau juga menceritakan perihal beliau dibawa ke kaabah di Mekah di dalam mimpi.
Apabila Tun Sheikh menjelaskan hakikat syariat dan apa yang dikatakan manusia dan insan, hakikat mimpi dan jin, Tun Sheikh dapati Kasnah sangat berminat dan mengeluarkan hujah-hujah dan pengertian sehebat seorang Tok Guru pondok. Bila ditanya tentang keadaan pengetahuannya itu, beliau mengaku tidak tahu kerana tidak pernah belajar seperti Tun Sheikh kecuali dibisikkan oleh orang tua yang misteri itu. Lantas Tun Sheikh memperjelaskan kepada beliau mengenai hakikat Adam dan anak cucunya serta pengertian saka, jin dan syaitan serta qorin.
Kemuncak daripada pertemuan beberapa hari itu, setelah didesak oleh Kasnah dan ibunya agar Tun Sheikh membantu mereka, Tun Sheikh dipermudahkan oleh Allah dengan ilham dengan mengatakan kepada mereka bahawa pertemuan misteri antara Tun Sheikh dan keluarga beliau adalah untuk memberitahu beliau secara nyata peranan saka, jin dan qorin. Orang tua yang misteri itu bukanlah wali Allah sebagaimana didakwanya tetapi adalah saka dan qorin nenek moyangnya di sebelah bapa. Beliau tidak perlu tunduk dengan kehendak qorin dan saka itu tetapi tidak ada salahnya jika tidak menyalahi syariat. Untuk mengenal dan mahir terhadap syariat, Tun Sheikh menasihatkannya supaya mencari guru agama yang alim lagi mursyid. Apa yang dilalui beliau adalah dugaan dan sebagai penyuci kefasikan dan maksiat yang pernah beliau lakukan. Yang sangat penting ialah berusaha mematikan sifat sombong dan angkuh. Keturunan ulama yang diwarisi bersama oleh beliau & Tun Sheikh tiada ertinya jika hati sanubari memilih kebatilan sebagai pakaian dan amalan diri yang hidup hanya sementara di dunia ini. Kepada semua, marilah memohon perlindungan hanya kepada Allah Yang Maha Esa daripada sifat sombong dan pelbagai sifat yang dibenci Allah. Amin Ya Rabal Alamin.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Sunday, October 3, 2010
BERZIKIR MAKSUDNYA BERINGAT KEPADA ALLAH
‘Pakcik sudah berusia 80. Kalau ikut sains perubatan, saya hanya berani kata pakcik ada peluang 5050 sahaja, tetapi terserah pakcik…’
Itu adalah kata-kata seorang pakar bedah berbangsa Cina 2 tahun lalu kepada Pakku Raja hasil keputusan pemeriksaan terhadap jantung dan sistem pernafasannya. 5050 bererti peluang untuk hidup hanya 50% dan peluang mati juga 50%. Agak terkejut Pakku Raja mendengarnya kerana selama ini beliau tidak pernah diserang sesak nafas atau susah bernafas. Baru itu pertama kali dan beliau dinasihatkan melakukan pembedahan pintas agar pernafasan pulih sedia kala. Jika beliau tidak mahu melakukan pembedahan, doktor menjangkakan sisa umurnya tidak akan bertahan lama. Serba salah juga Pakku dan ahli keluarganya hendak membuat keputusan. 5050 sebenarnya kosong dan bergantung nasib saja. Manakala jika dibiarkan, dikhuatiri saluran nafas yang tersumbat bertambah parah dan boleh mengakibatkan kematian pada bila-bila masa saja.
Pakku Raja pada mulanya ingin membiarkan saja memandangkan usianya pun telah lanjut. Kalau bedah pun bukannya berpeluang besar yang meyakinkan. Ketika buntu membuat keputusan beliau mula terkenang sanak saudara kaum keluarga dan sahabat handai yang hendak ditinggalkan buat selamanya tetapi apabila beliau terkenang seorang sahabat, murid dan juga seperti anak angkat kepadanya beliau mula sebak kerana dengan anak angkatnya ini banyak hal-hal di luar dimensi dilalui dan dialami bersamanya. Beliau berasa sedih kerana anak angkatnya ini seperti murid yang nakal dan sering mengembara di kawasan larangan. Sering kali ditangkapnya dan seringkali juga ingatan kepada anak angkatnya ini membuat dirinya sendiri insaf dan berupaya mengembara jauh di dimensi yang tidak bertepi itu. Akhirnya beliau mengakui bahawa anak angkatnya ini dengan dirinya saling ada hubungan jiwa dan batin. Saling berguna dan ada faedah kebaikan pada diri masing-masing.
Ketika teringatkan anak angkatnya yang nakal dalam beramal inilah beliau seperti diperli agar mencoba dari menyerah diri dan tawakal menghadapi kematian sebelum mencoba dan beriktiar. Beliau lantas terus berjumpa doktor dan menandatangani surat bersetuju menjalani pembedahan. Doktor pada mulanya agak terkejut dan menjelaskan beliau terpaksa segera melakukannya sebelum Pakku Raja diintai kelemahan fizikal kerana faktor usianya. Mengikut kebiasaan, pesakit yang dibedah seperti Pakku Raja perlu berehat panjang sekurang-kurangnya sebulan. Jika kuat dan masih muda biasanya memerlukan rehat selama seminggu dua.
Di hari pembedahan, Pakku Raja dihantar dengan kesahyuan airmata seluruh keluarganya kerana mereka tidak yakin Pakku akan keluar dengan nafas baru. Pakku tidak terkata apa kecuali ekor matanya saja membelek satu persatu wajah anak isteri dan cucu-cucunya buat kali terakhir. Anak angkatnya yang nakal pun tidak ada lantas beliau terus berimejenasi bersama-sama berzikir dengannya dan dengan kawan-kawan lain. Zikir berjemaah biasa. Apabila selesai berzikir yang tidak sampai 15 minit beliau terdengar namanya dipanggil dan rupa-rupanya itulah suara doktor pakar yang telah selesai membedahnya dengan jaya selama 3 jam dan Pakku Raja direhatkan selama 5 jam. Setelah sadar beliau seperti biasa mahu bangun dan pergi kerana tiada rasa apa-apa kesakitan mahupun kejanggalan. Pakku Raja juga hairan kerana beliau berasa baru 15 minit tetapi pada hakikatnya sudah 8 jam.
Doktor pakar itu juga berasa aneh kerana setelah diperiksanya didapati Pakku sihat dan boleh keluar dari hospital keesokan harinya. Hari berikutnya Pakku sudah keluar rumah menziarah saudara mara seperti biasa dilakukannya. Pakku Raja juga tidak lupa menelefon dan menemui anak murid atau anak angkatnya yang nakal itu menasihatkannya agar terus berzikir kerana itu adalah anugerah Allah dan beliau telah diperlihatkan keistimewaan dan rahsia zikirullah itu.
Awal ramadhan 2010 lepas, sekali lagi Pakku Raja diserang penyakit tetapi bukan sesak nafas kecuali rasa kebas-kebas sebelah badan. Apabila dibawa pemeriksaan doctor pakar, beliau didapati bakal lumpuh seluruh badan jika terlambat mendapat rawatan. Pakku Raja telah dimasukkan ke wad dan seminggu beliau terlantar di hospital. Lidahnya kelu dan segala anggota badannya tidak lagi bertindak mengikut arahannya. Beliau memahami tutur kata kaum keluarga tetapi mereka melihat beliau dengan putus harap kerana tiada tindak balas dari Pakku.
Setelah Pakku Raja sendiri telah putus harapannya kepada seluruh anggota fizikalnya beliau terilham bahawa beliau masih boleh berfikir tetapi sia-sia untuk memahamkan orang lain. Malah fikirannya yang melayang-layang dirasainya sia-sia saja lalu Pakku Raja terus berzikir setiap detik sehingga beliau kepenatan dan terlelap. Apabila terjaga dari tidur, beliau terasa sihat seperti biasa kecuali tutur katanya masih tidak sinkronis atau selari dengan tindak balas lidah. Beliau dimaklumkan telah tidur atau koma selama 2 hari. Setelah berehat 3 hari di hospital, beliau dibenarkan pulang dan ketika Tun Sheikh menziarahi Pakku pada 27 Ramadan, beliau menasihatkan Tun Sheikh agar serius berzikir dan jangan putus lagi. Ini adalah kerana beliau diperlihatkan dengan aura berzikir ketika beliau sedang koma.
Berzikirlah dengan mengingat sentiasa kepada Allah. Berzikirlah dengan penuh perasaan dan pandangan hanya tertumpu kepada Allah di hati dan menilik ke hati. Rahsianya seperti yang dialami oleh Pakku Raja. Dan zikir itu membawa ketenangan dan kekuatan kerohanian. Andaikata berpisah roh dengan jasad ketika sedang berzikir maka ketika itu juga roh akan disambut oleh Allah dan di tempatkanNYA sebagai golongan kanan. Itulah orang yang berbahagia.
Berbagai perasaan dirasai oleh Tun Sheikh ketika mendengar nasihat dan pesanan Pakku Raja…yang paling menyeret dan menyayat ialah watak anak angkat yang nakal itu…………adalah Tun Sheikh…….
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara